top of page
muinsapidin

Wanita Cedera Pertahan Beg Diragut

JASIN - Seorang wanita cedera akibat diseret ketika menyelamatkan beg tangannya yang diragut seorang lelaki menaiki kereta berhampiran sebuah pasar raya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi, wanita berusia 44 tahun itu diseret sejauh kira-kira 10 meter ketika melalui sebuah lorong sambil menyorong troli dipercayai hendak ke kenderaannya selepas selesai membeli-belah.

Rakaman CCTV menunjukkan sebuah kereta menghampiri wanita berkenaan

dan menarik beg tangannya tersebar di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Sampornak Ismail berkata, mangsa menyorong troli sambil menyandang beg tangan di bahu kanan sebelum terasa begnya ditarik dan kemudian menoleh lalu melihat seorang lelaki cuba meragut beg berkenaan.

“Mangsa ketika itu bersendirian dan dia cuba melawan dengan menarik semula beg kemudian terjatuh dan terseret sejauh kira-kira 10 meter hingga menyebabkan luka pada jari, kaki dan bahu.

“Kejadian dipercayai melibatkan lebih seorang suspek termasuk seorang pemandu kereta jenis Proton Waja itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang dipercayai melakukan kegiatan jenayah dengan menaiki kereta dan menyasarkan wanita-wanita yang menyandang beg di tepi jalan kini diburu.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kita juga percaya suspek terlibat dua kejadian samun di Tangkak, Johor berikutan kenderaan dan modus operandi sama digunakan selepas gagal melakukan samun di Jasin,” katanya.

Sampornak berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan samun dan pihaknya meminta orang awam yang melihat kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, rakaman CCTV berkaitan kejadian ragut itu turut tersebar di laman sosial Facebook.


15 views0 comments
bottom of page