top of page
muinsapidin

Terima Berita Anak Kena Pukul Ketika Sambut Hari Lahir

KOTA BHARU - Sambutan ulang tahun kelahiran ke-50 seorang pensyarah bertukar tragis apabila mendapat berita anak lelaki keduanya retak tulang leher dipercayai akibat disepak pelajar senior dalam kejadian di Pengkalan Chepa di sini, semalam.‎‎

Mangsa, Aiman Hazim Zulkeflee, 15, bukan sahaja mengalami kecederaan parah, malah tidak sedarkan diri selepas dibuli pelajar terbabit.‎

Menurut bapa mangsa, Zulkeflee Yaacob, 50, dia hanya menerima panggilan telefon dari isterinya ketika sedang meraikan hari lahirnya bersama pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) di Perak.‎

"Saya terima panggilan kira-kira jam 4 petang semalam, dan selepas menerima berita mengenai keadaan Aiman, saya terus bergegas pulang ke rumah kira-kira jam 5 petang.‎

"Dalam perjalanan selama 8 jam, saya tiba di Kelantan pada jam 1.30 pagi tadi, dan masih belum sempat bertemu Aiman yang dilaporkan stabil namun masih trauma," katanya.

Zulkeflee berkata, dia kesal apabila laporan berhubung kejadian itu hanya dimaklumkan kepada isterinya sahaja tanpa dimaklumkan terus oleh pihak sekolah kepadanya.‎

"Dari apa yang saya ketahui, Aiman disepak pelajar tingkatan empat, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Pelajar berkenaan dipercayai melakukan tindakan itu seorang diri dengan menyepak leher anak saya sebanyak dua kali sehingga dia terjatuh.‎

“Bukan itu sahaja, tindakan pelajar itu tidak terhenti di situ, malah dia turut menyepak dagu anak saya sehingga menyebabkan dia pengsan dan tidak sedarkan diri,” dakwanya.

Zulkeflee berkata, sejurus selepas kejadian, guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) sekolah ada memaklumkan kejadian itu pada isterinya melalui panggilan telefon dan mengakui kejadian itu berlaku ketika Aiman berada di dalam kelas kosong berhampiran tandas lelaki.

“Aiman kemudiannya dibawa untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa sebelum di rujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

“Buat masa ini, Aiman masih dalam keadaan trauma dan mengikut doktor, keretakan tulang lehernya itu turut mengambil masa yang lama untuk pulih,” katanya.‎

Zulkeflee berharap, kes terbabit diberi perhatian serius memandangkan ia melibatkan kejadian buli dan pihak sekolah seharunsnya mengambil tindakan segera memandangkan ia boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan emosi.


27 views0 comments
bottom of page