BERDASARKAN reputasi semasa, skuad Harimau Malaysia kemungkinan berdepan masalah ketika menentang Timor Leste walaupun dilihat mempunyai peluang cerah menundukkan pasukan yang berada di ranking ke-175 dunia itu.
Demikian respon bekas legenda kebangsaan, Khalid Ali selepas Harimau Malaysia diundi menentang Timor Leste pada aksi playoff pertama kelayakan Piala Asia 2019 yang diadakan secara timbal balik pada 2 dan 7 Jun ini.
Menurutnya, perlawanan persahabatan menentang Macau baru-baru ini yang menyaksikan skuad negara hanya mampu seri sudah boleh menunjukkan keupayaan sebenar pemain Harimau Malaysia.
“Peluang itu ada, tetapi berdasarkan reputasi semasa, saya lihat ia agak sukar. Apatah lagi skuad negara juga gagal menang dengan pasukan yang jauh lebih terkebelakang rankingnya seperti Macau.
“Saya tidak mahu mengharapkan apa-apa pada perlawanan ini,” katanya.
Untuk rekod pertemuan dengan Timor Leste, Harimau Malaysia ketika dibimbing Dollah Salleh pada aksi pertama Jun tahun lalu seri 1-1 dan pada Oktober dalam perlawanan timbal balik menyaksikan skuad negara yang dikendalikan Kim Swee menundukkan lawan itu 1-0.
Sementara itu, beliau juga tidak terkejut dengan ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang menyaksikan skuad negara menghuni tangga 174, ranking paling buruk dalam sejarah bola sepak negara.
Kata Khalid, kemerosotan ranking itu sudah dijangka, namun mengharapkan agar peminat bola sepak tanah air tidak menjadikan perkara itu sebagai satu kecaman kepada skuad negara.
Katanya lagi, skuad negara sememangnya sudah diketahui tidak mempunyai pemain yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Jangan dilihat pada ranking ketika ini. Apa yang perlu dibuat sekarang ialah memperkasakan pasukan kebangsaan.
“Saya jangkakan untuk tempoh tiga hingga lima tahun lagi, barulah kita mampu untuk membaiki ranking ini dengan skuad yang sedang dibentuk oleh ketua jurulatih Projek 2017, Frank Berhardt dan pengendali pasukan bawah 13 tahun (B-13) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim,” katanya.