top of page
muinsapidin

Program Satu Komuniti Satu JPJ Beri Manfaat 10,262 Warga Emas

PARIT - Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dianjurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bermula sejak 2009 telah memberi manfaat besar kepada 10,262 orang rakyat negeri Perak.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Yusof Ayob, program tersebut ternyata dapat memberi kesedaran kepada golongan warga emas mengenai pentingnya mereka mengamalkan pemanduan berhemah ketika menunggang motosikal

"Kegigihan warga emas mengikuti kursus untuk mendapatkan lesen motosikal di bawah program Satu Komuniti, Satu JPJ anjuran JPJ patut dicontohi oleh generasi muda di negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Program Satu Komuniti, Satu JPJ (SKSJ) Parlimen Parit di Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri Parit pada Sabtu.

Yusof berkata, program seperti SKSJ amat penting dalam mendidik masyarakat, terutamanya warga emas, supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang akhirnya dapat mengurangkan kes kematian dan kemalangan jalan raya.

Menurut beliau, jumlah kes kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2015 adalah sebanyak 489,606 kes iaitu meningkat sebanyak 13,410 atau 2.8 peratus berbanding 476,196 pada tahun 2014.

Katanya, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia juga meningkat sebanyak 32 orang iaitu sebanyak 6,706 orang pada tahun 2015 berbanding 6,672 orang pada tahun 2014.

Program SKSJ kali ini yang diadakan di Parlimen Parit melibatkan penyertaan 238 orang peserta warga emas iaitu 92 peserta lelaki dan 146 peserta wanita.


85 views0 comments
bottom of page