top of page
muinsapidin

Padah Tunggang Motosikal Curi

KUANTAN - Polis berjaya menyelesaikan dua kes curi motosikal di daerah ini berikutan penahanan dua individu secara berasingan termasuk seorang remaja bawah umur di sini, kelmarin.

Susulan penahanan suspek berusia 16 dan 20 tahun itu, polis merampas motosikal jenis Honda EX5 dan Demak Evo Z yang pernah dilaporkan hilang di Beserah dan bandar Kuantan sebelum ini.

Satu daripada dua motosikal curi yang berjaya ditemui susulan penahanan dua suspek, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tangkapan pertama melibatkan remaja 16 tahun selepas ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk pemeriksaan ketika menunggang dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah pasar raya di Seberang Balok di sini.

Menurutnya, dalam pemeriksaan pada kira-kira jam 7.45 malam itu, polis mendapati motosikal digunakan, menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Hasil semakan nombor enjin dan casis motosikal jenis Honda EX5 itu mendapati kenderaan itu pernah dilapor hilang di Beserah sebelum ini.

“Remaja terbabit dibawa ke balai untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis amphetamine,” katanya di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, tangkapan kedua melibatkan lelaki berusia 20 tahun di Lorong Seri Kuantan di sini, awal pagi kelmarin.

Menurutnya, lelaki tersebut ditahan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kuantan juga awalnya untuk pemeriksaan selapas dilihat menunggang dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu kira-kira jam 2.30 pagi.

“Semakan mendapati motosikal yang digunakan tersenarai dalam rekod kenderaan hilang.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis amphetamine selepas ujian air kencing dilakukan sejurus di bawa ke balai untuk siasatan lanjut,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sama ada suspek terlibat secara langsung terhadap kecurian motosikal tersebut atau diperoleh dari pihak lain untuk kegunaan sendiri.


23 views0 comments
bottom of page