top of page
muinsapidin

Nelayan Tempatan Tidak Puas Hati

KUALA TERENGGANU – Kewujudan nelayan asing warga Vietnam yang menggunakan pukat ganding (tunda) untuk menangkap ikan di perairan negeri ini bukan sahaja menjejaskan hasil tangkapan, tetapi turut merosakkan peralatan nelayan tempatan termasuk bubu dan unjam.

Susulan itu, seramai 30 nelayan dari negeri ini berkumpul bagi menyuarakan bantahan terhadap tindakan segelintir pengusaha bot nelayan laut dalam C2 berlesen yang menggunakan perkhidmatan warga Vietnam, yang didakwa banyak menimbulkan masalah kepada nelayan tempatan.

Sebahagian nelayan yang berkumpul bagi menyuarakan bantahan terhadap

tindakan segelintir pengusaha bot nelayan laut dalam C2 berlesen yang

menggunakan perkhidmatan warga Vietnam yang didakwa banyak

menimbulkan masalah kepada nelayan tempatan.

Bahiyuddin Awang, 30, dari Seberang Pintasan, Dungun berkata, dia menyarankan supaya pemilik lesen bot nelayan C2 supaya tidak menggunakan perkhidmatan nelayan Vietnam yang rata-rata tidak mempunyai rasa hormat kepada nelayan tempatan.

“Mereka gemar menggunakan pukat ganding yang menyalahi undang-undang untuk memperoleh jumlah tangkapan yang besar tanpa memikirkan akibat perbuatan itu.

“Di samping mengganggu aktiviti nelayan tempatan menangkap ikan, perbuatan itu juga menyebabkan unjam dan bubu nelayan kecil-kecilan hilang kerana masuk ke dalam pukat ganding berkenaan.

“Paling membimbangkan, penggunaan pukat ganding itu menyebabkan ekosistem termasuk tempat ikan membiak musnah dan ia menyebabkan kepupusan, seterusnya menjejaskan hasil tangkapan nelayan pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas Majlis Soal Jawab bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 9 Terengganu, di sini, kelmarin.

Bahiyuddin berkata, dia berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu nelayan tempatan itu, supaya nelayan dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan selesa tanpa gangguan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Beliau mengakui sistem yang dipraktikkan oleh nelayan Vietnam iaitu keluar menangkap ikan selama dua minggu berturut-turut baharu pulang membawa hasil tangkapan mereka untuk didaratkan di perairan Terengganu, tidak mampu dilakukan oleh nelayan tempatan.

“Bagi nelayan tempatan laut dalam, paling lama, hanya seminggu kita boleh keluar menangkap ikan sebab setiap Jumaat, kita akan pastikan telah pulang atau pulang pada hari tersebut kerana sebagai orang Islam, kita sedia maklum dengan perkara itu dan ia diamalkan oleh nelayan tempatan sejak dahulu lagi.

“Mungkin, kita boleh tukar nelayan asing dari negara lain pula. Sebelum ini negara pernah menggunakan khidmat nelayan asing dari Thailand, mereka lebih mengikut peraturan berbanding sekarang,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Hamizi Rosli, 37, dari Kampung Paloh Sungai Kiat berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak sembilan tahun lalu dan pelbagai pihak sudah sedia maklum dengan masalah itu tetapi sehingga kini ia masih berterusan.

“Maritim menjalankan operasi bagi menangani aktiviti itu namun pihak tidak bertanggungjawab itu tidak pernah serik dan berterusan melakukan kesilapan. Harapan kami supaya pihak bertanggungjawab membatalkan lesen atau meletakkan syarat tertentu terhadap pemilik bot nelayan C2 itu supaya tidak menggunakan perkhidmatan nelayan Vietnam itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Maritim Negeri, Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, pihaknya sentiasa menjalankan operasi dan pemantauan di perairan di negeri ini dan bermula Mac sehingga kini, sebanyak 12 bot nelayan asing yang ditangkap dan didakwa di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen.

“Kami sedia maklum dengan perbuatan nelayan warga asing yang menggunakan pukat ganding itu. Malangnya setiap kali serbuan dijalankan, mereka bertindak licik dengan melepaskan pukat ke dalam laut menyebabkan kami ketiadaan bukti untuk menahan mereka,” katanya.

Menurutnya, menjaga perairan dan kepentingan nelayan tempatan daripada ancaman dan masalah adalah tanggungjawab Maritim, justeru pihaknya akan sentiasa mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan.


9 views0 comments
bottom of page