top of page
muinsapidin

Kes Denggi Di Perak Menurun

IPOH - Jumlah kes denggi yang dicatatkan di Perak menurun sebanyak 2,305 kes sehingga minggu ke-14 tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazali berkata, kes kematian akibat denggi turut mencatatkan penurunan sebanyak empat kes berbanding 10 kes.

“Sehingga hari kelima minggu ke-14 2016, jumlah kumulatif kes denggi adalah 1,563 kes berbanding tempoh sama 2015 dengan 3,868 kes. Trend penurunan sebanyak 59.6 peratus,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, bagi jumlah wabak aktif di Perak setakat ini mempunyai 15 lokaliti di mana 5 daripadanya adalah lokaliti Hotspot.

“Mengikut pecahan ketika ini, lima adalah wabak terkawal, dua wabak tidak terkawal dan lima lokaliti Hotspot.

“Lokaliti Hotspot ini bermaksud bahawa lokaliti ini telah mengalami wabak melebihi 30 hari dari tarikh wabak dilaporkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu dalam tempoh Januari hingga Februari tahun ini sebanyak 2,544 premis makanan telah diperiksa dan sebanyak 56 notis telah dikeluarkan dengan nilai RM6,155.

“Daripada 471 sampel makanan yang telah diambil untuk analisis, dua kes kesalahan telah didakwa di mahkamah dan dikenakan denda dengan nilai jumlah sebanyak RM7,500,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Penankutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon telah merasmikan program Sayangi Komuniti Daerah Kinta “Kempen Kebersihan dan Kesedaran Wabak Denggi’ di Little India, Ipoh pada pagi Sabtu.

Dalam majlis itu, Dr Mah turut sempat melakukan pemeriksaan kebersihan di beberapa premis makanan yang terdapat di sekitar Little India.

Katanya, pemeriksaan mengejut itu dibuat bagi memastikan kualiti makanan yang dihidangkan mencapai standard ditetapkan dan ianya akan dibuat dari masa ke semasa.

“Setakat ini pemeriksaan yang kita telah buat berada di tahap memuaskan dan kita akan teruskan pemeriksaan ini dari masa ke semasa,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis itu.


6 views0 comments
bottom of page