SUNGAI PETANI - Seorang gadis berusia 20 tahun memberi alasan datang ke hotel kerana mahu teman berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur, selepas ditangkap khalwat bersama pasangannya di sebuah hotel bajet, di sini, kelmarin.
Pasangan terbabit dicekup Unit Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) daerah Kuala Muda.
Gadis yang berasal dari Laguna Merbok ditangkap khalwat bersama seorang anggota tentera berusia 30 tahun.
Katanya, dia merancang untuk berkahwin dengan temannya itu selepas selesai menghadiri temuduga untuk menjadi seorang anggota tentera, tidak lama lagi.
“Saya baru saja dapat keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), baru-baru ini, dan saya berjanji tidak akan buat perkara seperti ini lagi,” katanya kepada seorang pegawai pencegah maksiat Kuala Muda, Ariffin Salleh ketika melakukan operasi mencegah maksiat itu.
Selain pasangan itu, beberapa gadis turut ditahan kerana berada dalam bilik lain di hotel bajet itu tanpa pasangan.
Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, operasi cegah maksiat itu dijalankan dengan kerjasama polis kerana menerima maklumat daripada orang awam.
Menurutnya, operasi itu untuk terus membendung perbuatan sumbang yang semakin membimbangkan dalam kalangan anak muda sejak akhir-akhir ini.
“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap lagi dengan memberi tumpuan pada aduan orang ramai, hotel-hotel bajet dan juga kawasan yang berpotensi untuk kelakuan sumbang bermula jam 10.30 malam hingga 12 malam,” katanya.
Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Petani untuk diambil keterangan sebelum ke Pejabat JHEAIK untuk tindakan selanjutnya.