top of page
muinsapidin

Bekalan Kelapa Muda Kurang, Harga Meningkat Naik

TAIPING - Cuaca panas dan kering yang melanda sekarang akibat fenomena El Nino menyebabkan bekalan buah kelapa muda di sekitar bandar ini semakin berkurang dan sukar diperoleh.

Keadaan itu menyebabkan harga kelapa muda naik seterusnya memaksa segelintir peniaga minuman berasaskan buah itu menaikkan harga minuman.

Seorang peniaga minuman, Mustakim Hamid, 35, berkata sebelum ini beliau memperoleh bekalan sebiji kelapa muda pada harga antara RM3 dan RM3.50, kini ia naik kepada RM4.

Sehubungan itu, bagi menampung kos, Mustakim berkata beliau menaikkan harga air kelapa muda daripada RM1 segelas kepada RM1.50 hingga RM2.

"Kesukaran mendapatkan kelapa muda menyebabkan permintaan terhadap air kelapa muda meningkat lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas sekarang," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini hari ini.

Perkara sama turut diakui Salleh Saad, 25, yang menaikkan harga air kelapa muda daripada RM1 kepada RM1.20 sekarang.

Salleh yang mengambil bekalan kelapa muda dari Pantai Remis dan Trong mengakui kesukaran mendapatkan buah itu berkait rapat dengan kekurangan bekalan akibat El Nino. - Bernama


24 views0 comments
bottom of page