KUALA LUMPUR: Para penumpang syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air, hari ini meluahkan perasaan marah mereka terhadap syarikat itu di media sosial kerana pembatalan beberapa penerbangan yang telah dijadualkan. Antara penerbangan yang dibatalkan ialah RN130 dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, RN153 dan RN154 dari Kuala Lumpur ke Kuching, serta RN182 dari Kuala Lumpur ke Langkawi.
Seorang penumpang Ahmad Tarmidzi berkata beliau amat kecewa dengan satu pesanan mesej ringkas yang diterimanya dari Rayani Air yang menyebut penerbangannya dibatal kerana ‘mogok oleh juruterbang’. Seorang lagi penumpang, Aina Redzuan bertanya ‘bagaimana hendak ‘terbang’ sekiranya penerbangan telah dibatalkan?’. Ridhwan Nori pula berkata hasratnya untuk makan ‘Char Kuey Tiow’ di Kota Bharu tidak kesampaian kerana pembatalan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran ketika dihubungi Astro AWANI melalui WhatsApp berhubung ‘mogok juruterbang itu’ hanya menjawab "tiada komen".