IPOH - Radio Televisyen Malaysia (RTM) diminta agar memikirkan cara terbaik bagi memperbaiki imej kerajaan berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melontarkan tuduhan tidak berasas kepada kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, 'damage control' itu penting kerana fikiran rakyat telah diracuni dengan maklumat salah.
"Saya percaya RTM boleh lakukan ini. Kita tidak boleh puaskan hati semua orang, tapi kita cuba lakukan sebaik mungkin dan sampaikan maklumat sebaik mungkin," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari RTM Ke-70 peringkat Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak di sini hari ini.
Saarani berkata, sebagai badan penyiaran rasmi kerajaan, RTM perlu sentiasa menyalurkan maklumat yang sahih terutama dalam mengimbangi pengaruh serta peranan media sosial sekarang.
"Kita perlu menjaga integriti kerana maklumat dalam media sosial seperti Facebook dan WhatsApp mudah untuk diubah suai. Biarlah maklumat yang sahih datang daripada badan rasmi kerajaan seperti RTM, Jabatan Penerangan," katanya.
Saarani mengakui ada masanya sesetengah maklumat perlu disimpan kerana penyiarannya mungkin akan menyebabkan kekeliruan rakyat selain mencetuskan ketegangan.
Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon serta Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria. - Bernama