top of page
muinsapidin

Projek Rimbunan Kasih Basmi Kadar Kemiskinan

PROJEK Rimbunan Kasih (RK) yang berasaskan kegiatan pertanian moden dijangka dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan penduduk di negara ini.

Dilaksanakan di kawasan pedalaman seperti di Tanjung Besar, Lipis, Pahang; Mukim Abang, Dungun, Terengganu; Serkam, Jasin, Melaka dan Kampung Sungai Galah, Kampung Gajah, Perak, projek ini salah satu daripada pelan pembangunan kawasan luar bandar yang dilaksanakan secara mampan bagi tujuan mewujudkan pemodenan dan pembangunan masyarakat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, RK merupakan sebahagian daripada komponen Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang menyediakan perumahan selesa dilengkapi kemudahan asas dan disokong dengan pelbagai kegiatan pertanian bernilai tinggi, berteknologi moden serta menggunakan konsep pertanian bersepadu.

"Di Kampung Sungai Galah, Perak, projek ini menempatkan 94 keluarga miskin sejak Disember lalu membabitkan kerjasama sektor awam dan swasta terutamanya Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak dan IRIS Corporation Berhad (IRIS) selaku pelaksana projek.

“Peserta RK adalah warga miskin di negeri Perak yang berada dalam kategori asnaf penerima zakat, peserta e-kasih dan kategori lain," katanya ketika ditemui di Ipoh, baru-baru ini.

Sedia pelbagai kemudahan

Dr Zambry berkata, setiap peserta disediakan sebuah rumah sewa yang dibina menggunakan teknologi IRIS KOTO IBS dengan kadar bayaran sewanya RM100 yang dibayar kepada kerajaan negeri. Turut disediakan ialah surau, tadika Kemas, perpustakaan kecil dan dewan orang ramai bagi kegunaan peserta.

"Tugas mereka adalah menyempurnakan kerja ladang yang meliputi rumah fertigasi bagi tanaman rock melon, kawasan pertanian buah-buahan dan tangki ternakan ikan.

"Semua peserta dibayar RM1,000 sebulan dalam tempoh percubaan enam bulan sebelum dibayar RM1,500 sebulan pada bulan-bulan berikutnya," ujarnya.

Katanya, kawasan RK membabitkan kawasan seluas 20 hektar keseluruhannya melibatkan komponen pertanian (5.2 hektar) dan kawasan ternakan ikan (2.4 hektar).

“Rumah yang kosnya RM55,000 sebuah dibina atas tanah seluas 295 meter persegi dan luas porch 30 meter persegi mengamalkan konsep kediaman tanpa pagar.

“Kos keseluruhan projek adalah RM24.9 juta, termasuk RM5.5 juta kos pembinaan 100 rumah," katanya.

Janji hasil lumayan

Sementara itu, Pengurus Ladang RK, Laurence Santiapillai berkata, sebanyak 28 rumah hijau yang menanam rock melon dengan menggunakan teknologi pertanian moden dan setiap rumah berkenaan menghasilkan 1.5 tan metrik hasil keluaran dalam tempoh dua bulan.

Manakala 400 tangki ternakan ikan tilapia yang memuatkan 300 ekor ikan setiap tangki turut disediakan.

“Setakat ini saya tidak menghadapi masalah kerana semua peserta berdisiplin dan mengikut arahan kerja," katanya.

Penghulu Mukim Kampung Gajah, Abdul Khalim Mohd Yahaya pula berkata, projek berkenaan berjalan lancar dan semua peserta mengikut jadual kerja ditetapkan.

“Saya berharap peserta bersama ahli keluarga tinggal di situ dalam keadaan selesa dan mereka dapat menumpukan sepenuhnya terhadap tugas diberikan," katanya.

Seorang peserta yang berasal dari Kampung Sungai Galah, Kampung Gajah, Perak, Abdul Jalil Ali Piah, 44, berkata, tugasnya di situ ialah menjaga dan mengindahkan landskap kawasan berkenaan.

Dia memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,000, berasa bersyukur dan teruja apabila dipilih menyertai projek RK berkenaan.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang kebun Pejabat Kemas Daerah dan bertuah dapat menyertai pekerjaan baru yang lebih terjamin," katanya.

Peserta berasal dari Lenggong, Perak, Mohd Nasir Othman, 32, pula berkata, rumah disediakan amat selesa baginya, isteri dan lima anaknya tinggal di situ sambil memperoleh pekerjaan dan pendapatan tetap.

“Saya bersyukur kerana dapat menyediakan tempat berteduh lebih sempurna kepada ahli keluarga melalui projek RK ini," katanya gembira.


200 views0 comments
bottom of page