GEMENCHEH – Seorang pekebun kini bakal menanggung kerugian hampir RM60,000 apabila hasil pertaniannya di tanah seluas 2.8 hektar rosak, serta terbantut susulan air Sungai Salah, di sini, tidak dapat mengalir lancar.
Marzuki Taib, 43, berkata, laluan air tidak lancar berikutan sungai itu tidak dibersihkan sejak lebih lima tahun lalu, seterusnya menyukarkan pengairan tanaman dilakukan.
Menurutnya, dia sudah menjangkakan bakal menghadapi masalah mengepam air sungai untuk disiram ke kawasan pertaniannya sejak Jun tahun lalu, memandangkan cuaca panas dan kering selain kekurangan hujan.
"Mujurlah pada masa itu hasil pertanian sudah masuk peringkat terakhir mengeluarkan hasil dan pada kejadian kali pertama itu, saya dan isteri (Rozinah Md Jadi, 37) mengalami kerugian sekitar RM6,000.
"Jadi, sejak tahun lalu saya sudah mengusulkan permohonan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan Sungai Salah. Ini bagi membolehkan air dilepaskan dari loji di atas dapat mengalir lancar ke kebun saya.
"Walaupun tidak hujan air sentiasa ada di sungai ini, namun kini air ini seolah-olah bertakung serta tidak dapat mengalir dengan baik.
"Lihat sahajalah keadaan sungai ini yang bersemak-samun dan air seolah-olah bertakung di dalamnya," katanya ketika ditemui Sinar Harian, petang kelmarin.
Marzuki berkata, sudah hampir dua bulan dia tidak dapat mengepam air dan menyiram sayur-sayurannya seperti kambas, terung, cili padi dan kacang panjang yang seharusnya dijangka sedang “lebat” mengeluarkan hasil.
Menurutnya, kebiasaannya setiap kali mengeluarkan hasil dia boleh mengeluarkan sebanyak 20 tan kambas, dan kini hanya mampu beberapa tan sahaja selebihnya sudah rosak serta tidak mempunyai nilai lagi dalam pasaran.
"Tanaman terung pula terus terbantut pertumbuhan hasilnya.
"Terung sekarang harga pasarannya tinggi, namun kesemua ini akan lebur begitu sahaja sekiranya saya masih tidak dapat mengepam air sungai untuk menyiram tanaman ini. Saya berharap agar JPS membantu membersihkan Sungai Salah ini," katanya.