top of page
muinsapidin

Os Meninggal Dunia Akibat Kanser Paru-paru

PELAKON dan pelawak veteran, Mohd Yusof Abdul Hamid, 55, atau lebih dikenali sebagai Os meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Hospital Selayang di sini kira-kira jam 3 petang tadi.

Anak keduanya, Husna Mohd Yusof, 27, berkata bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Isnin lepas.

"Jenazah akan disembahyangkan di Surau Al-Muhajirin, Kampung Sri Gombak Indah di Batu Caves," katanya kepada pemberita.

Os memulakan kerjayanya sebagai pelakon filem pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung.

Antara drama dan filem yang pernah dibintangi Allahyarham termasuk Adik, O.K (Orang Kampung Otak Kimia), Cikgu Romantik dan Senario The Movie Ops Pocot.

Anak jati Perak ini pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik sebanyak dua kali di Festival Filem Malaysia (FFM) iaitu menerusi filem Mr Os (1987) dan Ghazal Untuk Rabiah (1997).

Allahyarham menerusi gandingan dengan Abon (Sharizan Ahmad) dalam Kumpulan Osbon juga berjaya menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega pada 30 Dis 2011.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah melahirkan rasa sedih dengan pemergian seorang lagi insan seni negara yang begitu berbakat.

"Seniman ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya. - Bernama


9 views0 comments
bottom of page