top of page
muinsapidin

Krematorium Moden Pertama Di Malaysia Bagi Kaum India

IPOH - Sebuah krematorium moden bagi kaum India yang pertama di Malaysia siap dibina di Jalan Madras, Sungai Pari, Buntong dan dijangka dapat digunakan dalam masa terdekat ini.

Penasihat Menteri Besar, Datuk V. Elango berkata, krematorium berharga RM2 juta itu yang mula dibina pada 7 Mei 2015 siap pembinaannya pada 7 Disember 2015.

Menurut beliau, daripada kos RM2 juta itu sebanyak RM1.3 juta adalah sumbangan kerajaan negeri Perak manakala bakinya adalah atas usaha Ipoh Hindu Devastanam Paripalana Sabah, Buntong.

``Krematorium moden ini adalah satu-satunya krematorium yang menggunakan teknologi yang terkini di mana segala peralatan pembakaran diperbuat dari negara China.

``Krematoium ini sungguh canggih dan kita boleh jadikannya sebagai satu projek rujukan kepada projek-projek yang akan datang,’’ katanya kepada pemberita selepas meninjau lebih dekat bangunan krematorium itu pada Jumaat.

Menurut Elango, beberapa lagi projek krematorium akan dibina di Sungai Siput, Lumut dan di Bagan Datoh untuk kegunaan masyarakat India di daerah berkenaan.

Beliau amat berpuashati dengan pembinaan krematorium itu kerana bukti janji yang dikotakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat India di Buntong walaupun ia telah dipolitikkan oleh pihak berkepentingan.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang berkepentingan itu supaya berhenti memainkan isu krematorium berkenaan sebagai bahan politik kerana masyarakat India sudah jelik dengan permainan mereka.

Elango berharap kremotorium moden dan canggih itu akan dikendalikan oleh pihak pengurusan Ipoh Hindu Devastanam Paripalana Sabah, Buntong secara profesional demi kepentingan masyarakat India bukan sahaja di Buntong malah di kawasan Kinta dan sekitarnya.


48 views0 comments
bottom of page