top of page
muinsapidin

Kerajaan Lulus Pinjaman Mudah Kepada Proton RM1.5b

KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada pinjaman itu adalah untuk membolehkan pengeluar kereta nasional tersebut membuat pembayaran kepada vendor yang membekalkan komponen kepadanya.

Datuk Seri Mustapa Mohamed - Foto Bernama

"Beberapa syarat turut dikenakan kepada Proton untuk memulihkan perniagaan.

"Antara syaratnya, Proton perlu meyakinkan kerajaan mengenai model

perniagaan baharunya supaya perniagaan berdaya maju dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Secara khususnya, Mustapa berkata Proton antara lain perlu mewujudkan pelan penstrukturan semula syarikat itu serta menyediakan pelan strategik untuk

memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

"Proton juga perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, sebuah pasukan petugas yang diketuai oleh Ketua Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala akan ditubuhkan untuk memastikan program transformasi ini berjaya.

"Pasukan ini akan mempunyai tiga wakil, masing-masing dari sektor swasta dan sektor awam. Wakil kerajaan ialah bagi mewakili Kementerian Kewangan, Miti dan Unit Perancang Ekonomi manakala wakil sektor swasta akan dikenalpasti secepat mungkin," katanya.

Mustapa berkata selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, pasukan petugas ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lepas, mengenal pasti kelemahan serta langkah untuk mengatasinya.

Beliau berkata industri automotif adalah sebuah industri yang strategik, dengan Proton mempunyai 12,000 orang pekerja yang bekerja secara langsung dan kira-kira 50,000 orang bekerja dengan syarikat vendor yang bergantung kepada Proton.

"Keputusan Kabinet pada hari ini adalah juga bagi mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 orang pekerja yang bergantung secara langsung kepada masa depan Proton," katanya. - Bernama


24 views0 comments
bottom of page