TAPAH: Hanya seorang daripada 65 pelajar dan seorang guru yang terlibat dalam keracunan makanan di SM Sains Tapah (SESTA) masih ditahan di hospital bagi rawatan lanjut sehingga hari ini. Pegawai Pendidikan Daerah Batang Padang, Osman Mohamed Bahri berkata, pelajar tingkatan 5 itu dijangka dibenarkan pulang petang Jumaat (hari ini) setelah dirawat selama enam hari sejak Ahad lepas.
"Pelajar perempuan itu kini dilaporkan stabil dan kami telah menghubungi pihak hospital dan mereka memberitahu dia akan dijangka keluar selewat-lewatnya petang ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan SESTA di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut 38 pelajar masih dirujuk ke hospital bagi rawatan lanjut manakala 27 pelajar pula ditempatkan di Bilik Rawatan Sekolah.
Sebelum ini, seramai 65 orang daripada 111 pelajar dan seorang guru yang menikmati juadah lewat malam disediakan oleh dapur asrama sekolah mengalami keracunan makanan pada Sabtu lepas. Osman berkata berdasarkan pemantauan berterusan sehingga 8 April keadaan kesemua pelajar yang mengalami keracunan makanan dilaporkan bertambah baik dan bilangan mereka semakin berkurangan.
"Ada di antara pelajar yang terlibat kini telah pulang ke rumah masing-masing untuk berehat dan diberi cuti sakit sehingga Ahad ini dan kita harap mereka yang terlibat akan kembali ke memulakan semula sesi persekolahan pada Isnin depan,"ujarnya.
Berkenaan dengan pengusaha dapur dewan makan SESTA, Osman berkata pihaknya telah melaksanaan penyelenggaraan dan pelupusan bagi menggantikan peralatan seperti peti ais di seluruh premis sekolah.
Tambah beliau, keputusan untuk memberhentikan operasi pengendali dapur asrama diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, guru tunggal yang terlibat dalam kes keracunan makanan itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Safarim Razali menceritakan pengalaman beliau ketika menguruskan kesemua pelajar ke hospital pada hari tersebut.
"Seingat saya, saya berkongsi menu roti jala dan kari ayam bersama dengan pelajar lain selepas solat Isyak pada malam Sabtu dan mula mendapat simptom seperti pening, sakit perut dan mual.
"Setelah simptom tersebut berulang keesokan harinya, saya terpanggil untuk melihat anak-anak (pelajar) dan barulah saya mendapat tahu bahawa sekurang-kurangnya 16 pelajar mengalami tidak sedap badan seperti saya sendiri," katanya lagi.
Ketua warden itu berkata, beliau turut mendapat cuti selama dua hari untuk mendapatkan rehat yang secukupnya namun masih membuat pemantauan ke atas pelajar terlibat dalam kes keracunan makanan.