Seorang Inspektor dijatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 6 bulan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh setelah mengaku bersalah menerima rasuah sebanyak RM1,500.
Amrin Paiman, 45, yang bertugas di Bahagian Pendakwaan Mahkamah Trafik mengaku menerima rasuah daripada seorang lelaki yang telah melakukan kesalahan trafik.
Amrin mengaku menerima wang itu daripada Khor Kwong Yik melalui pemindahan wang daripada akaun isteri Khor, Chin Hui Yee ke dalam akaun bank CIMB miliknya di Bank CIMB Cawangan Menglembu pada 10 April 2012.
Amrin menerima rasuah wang sebanyak itu daripada Khor yang mana beliau merupakan Pegawai Pendakwa bagi kes kesalahan trafik Khor Kwong Yik yang perlu dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Amrin yang dibela peguam Md Fadhli Mat Sutri melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Hakim Puan Indra Nehru Sarandiah dalam keputusannya berkata, setelah mendengar rayuan peguam pesalahan dan pihak pendakwa raya berhubung kes ini beliau mengenakan hukuman denda RM5,000 atau dipenjara enam bulan ke atas Amrin.
Terdahulu, Peguambela Amrin, Md Fadhli meminta budibicara hakim mahkamah supaya anak guamnya itu dikenakan hukuman denda dan tidak hukuman penjara memandangkan telah berkhidmat selama 32 tahun dalam perkhidmatan PDRM.
Katanya, jika hukuman penjara dikenakan maka sudah pasti anak guamnya itu akan kehilangan pekerjaan dan pencen.
Timbalan Pendakraya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat pula meminta hukuman yang setimpal dikenakan ke atas pesalah demi kepentingan awam.
Katanya, walaupun Amrin mengaku salah atas pertuduhan pilihan itu namun hukuman yang setimpalnya perlu dikenakan demi menjaga imej anggota beruniform.