ADUN Aulong Leow Thye Yih tetap akan hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri yang akan mula bersidang Selasa depan walaupun telah diumumkan digantung selama sebulan oleh Speaker Datuk Seri S.K Devamany.
Keputusan Leow untuk melanggari perintah Speaker Dewan itu diumumkan Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham dalam satu sidang media di pejabat parti itu pagi tadi.
Ngeh menegaskan Leow akan tetap menghadiri persidangan itu walaupun telah dimaklumkan mengenai pengantunggannya dalam satu surat bertarikh 1 April.
Menurutnya Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tidak ada kuasa membuat keputusan muktamad terhadap Leow kerana Perintah Tetap 72 dan 78 mewajibkan satu penyata atau laporan dikemukakan kepada Dewan sebelum keputusan boleh dibuat.
“Saya tidak bersetuju dengan keputusan Speaker dan akan mengemukakan dua usul iaitu Speaker yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad terhadap mana-mana ahli Dewan kerana ianya hanya boleh diputuskan di Dewan.
“Keduanya, penggantungan yang dibuat oleh Speaker dan Jawatankuasa ini adalah di luar bidang kuasa mereka, maka ianya menjadi tidak sah dan tidak terpakai,” katanya semasa bercakap dalam sidang media di pejabatnya pada Jumaat.
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dianggotai enam wakil rakyat termasuk wakil pembangkang mengambil keputusan menggantung Leow pada 31 Mac lalu setelah mendapati beliau melanggar Perintah Tetap 36(3)(a) dan 36(3)(b) ketika memberi ucapan perbahasan pada Persidangan Dewan Negeri lepas
Leow dalam perbahasannya pada persidangan Dewan 13 November lalu telah menuduh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah menerima rasuah bagi satu projek pembangunan di Kuala Sepetang.
Leow kemudiannya diperintah dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan berikutan usul yang dibawa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Datuk Zahir Abd Khalid.
Ngeh turut menyamakan kes Leow dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mana kedua pemimpini ini dikatakan dihukum kerana memperjuangkan nasib rakyat.