IPOH - Pengurusan dana wakaf tidak wajar dikendalikan oleh tenaga insan yang sekadar memiliki pengetahuan dan pengalaman pengurusan umum semata-mata.
Sebaliknya, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pengurusan organisasi wakaf perlu dikendalikan oleh mereka yang mahir dalam pengurusan kewangan, pelaburan dan pembangunan hartanah.
Titah baginda, ia perlu supaya dana serta harta wakaf berdaya produktif untuk terus berkembang maju.
"Tenaga insan yang diamanahkan untuk mengurus dana wakaf wajiblah dipilih daripada kalangan profesional yang berwawasan, berpengetahuan, dinamik dan kompeten, memiliki sifat-sifat amanah, jujur, telus dan ikhlas," titah baginda ketika melancarkan Waqaf Perak Ar-Ridzuan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin serta barisan Exco kerajaan negeri.
Sultan Nazrin bertitah, wakaf merupakan instrumen kewangan tidak asing di negara ini kerana ia merupakan sumber yang membiayai pembangunan institusi-institusi pendidikan tradisi seperti pondok, madrasah, sekolah agama, surau dan masjid.
Titah baginda, wakaf yang awalnya menunjukkan kejayaan bukan sahaja gagal berkembang, malah menguncup disebabkan pengurusan yang lemah dan kurang profesional untuk menghadapi senario ekonomi serta perniagaan yang lebih dinamik dan mencabar. Titah Sultan Nazrin, menurut pandangan sesetengah ulama, adalah menjadi kewajipan kerajaan menyediakan institusi berserta kakitangan yang amanah dan berdedikasi serta menjiwai tanggungjawab syarak dalam pengurusan wakaf. "Sesungguhnya wakaf ialah instrumen yang berperanan menggabungkan elemen rohaniah dan kebendaan serta dapat berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dan pembangunan ummah," titah baginda. Baginda bertitah, konsep wakaf telah diadaptasi masyarakat Barat dengan menjenamakannya dalam bentuk yayasan, amanah dan wakaf, malah menjadi instrumen kewangan yang membiayai program kebanyakan universiti ternama dunia. "Universiti-universiti Oxford, Cambridge, Harvard, Stanford, Princeton, adalah antara universiti yang dibangunkan dan berkembang melalui sumber wakaf dan mempunyai dana yang kukuh," titah Sultan Nazrin.
Mengenai Waqaf Perak Ar-Ridzuan, Sultan Nazrin bertitah, Enakmen Wakaf (Perak) berkuat kuasa pada 15 Feb lepas setelah diluluskan Dewan Negeri pada 23 Nov 2015. Titah baginda, Enakmen Wakaf itu digubal merangkumi kesemua aspek pengurusan wakaf berlandaskan syariat dan turut merangkumkan ijtihad ulama berkaitan pentadbiran dan pembangunan harta wakaf. "Justeru itu, amanah ini menuntut Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak menguruskan wakaf dengan pendekatan urus tadbir bersandarkan roh Islam, amanah, jujur, ikhlas dan telus," titah baginda. Selain itu, Sultan Nazrin bertitah, berdasarkan laporan 'Oxford Committee for Famine Relief' (Oxfam) semasa Forum Ekonomi Dunia di Davos, awal tahun ini, sikap tamak segelintir pihak dalam mengaut keuntungan adalah antara penyebab jurang agihan kekayaan semakin melebar. "Para peniaga dan syarikat multi-nasional yang memperoleh keuntungan besar, dilaporkan memerah tenaga pekerja bergaji rendah, melakukan pelbagai helah untuk mengelak daripada membayar cukai dengan menyorok keuntungan sebenar syarikat di luar negara. "Oxfam menganggarkan sejumlah 7.6 trilion Dolar disimpan dalam akaun luar negara semata-mata atas niat mahu melarikan diri daripada membayar cukai," titah Sultan Perak. Baginda bertitah, trend ketidakseimbangan agihan kekayaan itu bukan sahaja melebarkan jarak antara yang kaya dengan miskin tetapi menjadi antara faktor mempengaruhi tercetusnya pelbagai konflik dan krisis di serata dunia.
Titah Sultan Nazrin, usaha mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama wajib dirintis untuk memastikan nasib insan miskin terbela, salah satu mekanismenya adalah melalui wakaf.