top of page
muinsapidin

Tubuh Pusat Sehenti Kumpul Yayasan

BEHRANG - Prihatin dengan masalah golongan kurang berkemampuan yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi, seorang wakil rakyat mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan pusat sehenti (one stop centre), bertujuan mengumpulkan pelbagai yayasan yang menyediakan pembiayaan pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, pusat sehenti itu akan memudahkan ibu bapa dan pemimpin masyarakat untuk menyalurkan permohonan pembiayaan.

Menurut beliau, banyak yayasan yang menyediakan tabung pendidikan bagi kemudahan pembiayaan ke institusi pengajian tinggi tetapi semuanya bergerak secara bersendirian.

Beliau turut mencadangkan supaya urusetia Program Jelajah Pendidikan Bumiputera menjadi sekretariat pusat sehenti berkenaan.

“Apabila jelajah ini selesai melakukan programnya di seluruh negara dengan sasaran mendapatkan 150,000 peserta, sudah pastinya yang penting bagi urusetia ini ialah untuk mencari sponsor kepada peserta berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Pendidikan Bumiputera peringkat Parlimen Tanjung Malim di SMK Bandar Behrang 2020 dekat sini pada khamis.

Khusairi berkata, selain penajaan yang disediakan oleh pihak kerajaan, sudah pasti peserta jelajah itu juga perlu mendapat tajaan daripada yayasan-yayasan tertentu.

“Jadi adalah lebih mudah kalau sekiranya one stop centre yang ini dikendalikan dan diseliakan oleh urusetia Program Jelajah Pendidikan Bumiputera ini sendiri,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berkata,akan berbincang dengan beberapa ketua bahagian lain untuk turut mencadangkan penubuhan pusat sehenti itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Jelajah Pendidikan Bumiputera, Tan Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar menyambut baik cadangan tersebut.

“Ini adalah satu cadangan yang baik, mudah untuk kami sebagai unit yang membuat jelajah, mencari dan mengenal pelajar supaya dapat kita menyalurkan nama-nama kepada yayasan-yayasan berkenaan yang membantu mereka.

“Kalau ada one stop centre digabungkan, itu memudahkan urusan, menyenangkan ibu bapa dan kita dapat pastikan pelajar-pelajar ini disalurkan pada yayasan yang sesuai untuk membantu mereka,” kata beliau.

Menurut beliau, langkah susulan untuk merealisasikan penubuhan pusat sehenti itu boleh dibuat selepas selesai program Jelajah Pendidikan Bumiputera yang dijangka hujung bulan Mei ini.


16 views0 comments
bottom of page