IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri perlawanan pembukaan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (SAS) ke - 25 pada malam Rabu.
Sebagai memperingati pengasas piala kejohanan bertaraf antarabangsa itu, baginda turut diiringi oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta bonda baginda, Tuanku Siti Bainun Mohd Ali.
Kehadiran kerabat diraja yang lain seperti Raja Datuk Seri Azureen Almarhum Sultan Azlan Shah, Raja Datuk Seri Eleena Almarhum Sultan Azlan Shah dan Tunku Datuk Seri Kamil binti Tunku Rijaludin turut menyerikan lagi kejohanan tahun ini.
Turut hadir, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Perak, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.
Dalam majlis itu, Foo Keat Seng dan Ahmad Fadzil Zainal Abidin, bekas pemain hoki kebangsaan menyerahkan Piala Pusingan kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan, Datuk Abdul Rahim Matt Ariff yang kemudian menyerahkannya kepada Sultan Nazrin sebagai tradisi gimik perasmian.
2016 menyaksikan genap 25 tahun ulang tahun Piala Hoki Sultan Azlan Shah yang telah dimulakan oleh Bapa Hoki Malaysia, iaitu Almarhum Sultan Azlan Shah.
Sejak 1992, Almarhum Sultan Azlan telah berjaya menjadikan kejohanan yang diiktiraf Persatuan Hoki Antarabangsa (IHF) itu sebagai pentas pertarungan pemain hoki handalan dari seluruh dunia.
Perlawanan malam Rabu menyaksikan pasukan Malaysia yang diketuai Razie Rahim mendapat sokongan padu penyokong tempatan yang datang seawal jam 7.30 malam.
Kehadiran kerabat diraja menimbulkan memori dan mengimbas perjuangan Almarhum memartabatkan sukan hoki sejak di bangku sekolah.
Piala Sultan Azlan Shah juga mempunyai keistimewaan tersendiri apabila menjadi satu-satunya kejohanan hoki bertaraf antarabangsa yang menggunakan nama individu sebagai nama pertandingan.
Sebelum ini, Almarhum turut diberikan penghormatan menjadi Naib Presiden FIH selama dua penggal bermula 1992 dan Naib Presiden Konfederasi Hoki Asia (AHF) pada 1960.
Demi memartabatkan sukan hoki di rantau ini, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh Almarhum Sultan Azlan seperti penubuhan Akademi Hoki Asia.
Memetik satu temuramah BERNAMA, bekas pemain hoki kebangsaan, Minarwan Nawawi berkata Sultan Azlan Shah selalu turun padang menyelesaikan sendiri masalah yang timbul dalam sukan hoki.
"Dari tahun 1997 hingga 2000 timbul isu berkaitan jurulatih dan pemain yang tidak berpuas hati dengan gaji dan ganjaran. Pada masa itu Tuanku memanggil semua pihak berbincang dan atas kebijaksanaan baginda, semua pihak gembira dengan keputusan yang dicapai," katanya.
Beliau berkata, Sultan Azlan Shah adalah seorang yang mudah untuk diajak berbincang dan seorang pemimpin yang bersemangat serta banyak mempunyai idea dalam meningkatkan mutu sukan hoki di negara ini.
"Tuanku adalah ikon kepada hoki Malaysia kerana baginda merupakan orang yang bertanggungjawab mengangkat martabat hoki di negara ini," katanya.