top of page
muinsapidin

Mayat Terbakar Dalam Rumah

BAHAU - Seorang adik tidak dapat menahan sebak selepas menemui abangnya dalam keadaan tidak bernyawa dan terbakar di kediamannya dekat Taman Cempaka, Bahau awal pagi semalam.

Insiden menyayat hati itu dijumpai Chong Foo Seng, 50-an selepas abangnya, Chong Fu Wah, 59 tidak menjawab panggilan telefonnya sekitar jam 9 pagi.

Foo Seng berkata, dia bergegas ke kediaman abangnya itu dan mendapati sahutan panggilannya masih tidak berjawab lalu mendorongnya memotong kunci rumah.

"Saya terkejut apabila melihat sendiri abang saya dalam keadaan begitu di ruang tamu, susulan dia antara adik-beradik yang saya rapat.

"Sebelum ini, abang tinggal bersama keluarga mendiang abang sulung dekat situ, namun mereka telah berpindah Ahad lalu," katanya ketika ditemui di lokasi.

Foo Seng berkata, dia begitu menyayangi abang keduanya itu tambahan pula dia masih bujang selain menumpang kasih dengan keluarga berkenaan.

"Abang sudah lama tinggal dengan keluarga itu lebih kurang 30 tahun. Kehilangannya betul-betul dirasai selain kesal dengan kejadian yang berlaku ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian itu setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Berdasarkan siasatan awal, kes ini tidak mempunyai sebarang unsur jenayah namun, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Justeru itu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk tindakan seterusnya," katanya. - Sinar Harian


21 views0 comments
bottom of page