IPOH - Usaha kerajaan negeri Perak yang mengamalkan dasar mesra perniagaan menjadi pemacu utama kepada kemasukan pelabur antarabangsa, khususnya dalam sektor pembuatan.
Antaranya ialah pengeluar komponen optik terbesar dunia, Finisar yang telah memilih Ipoh sejak 15 tahun lalu sebagai lokasi pentadbiran dan kilang pengeluar produk utama mereka di seluruh dunia.
Naib Presiden Eksekutif Operasi Global Finisar, Joseph Young berkata, antara kriteria utama pemilihan Ipoh sebagai pusat pentadbiran akaun dan pengeluaran komponen optik adalah penyediaan infrastruktur yang lengkap di negeri tersebut.
“Sejak 15 tahun lepas, kami tidak pernah menghadapi masalah untuk mendapatkan tenaga kerja, baik warga tempatan dan luar negara, malah mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran.
“Selain itu, kami juga amat menghargai sokongan padu kerajaan negeri yang sentiasa menjalinkan hubungan sehingga kami berasa amat dialu-alukan di Perak, ditambah lagi dengan dasar keterbukaan bisnes negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Fasa II Untuk Pengeluaran ( Baru) Kilang
Finisar ( M) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Kinta, Chemor dekat sini pada Khamis.
Joseph berkata, sejak 2001 Finisar telah menjadi pengeluar utama produk kabel optik kepada jenama gergasi seperti Alcatel, HuaWei serta Cisco dan Ipoh kekal menjadi lokasi terbaik bagi keseluruhan operasi tersebut.
Selain mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri dan Persekutuan, katanya,Perak juga menjanjikan peluang pemasaran global yang sistematik selain lokasinya terletak di antara Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Ujarnya, sebagai tanda sokongan dan keyakinan mereka, Finisar akan melaburkan RM 45 juta lagi untuk membina bangunan penghasilan produk seluas 100,000 kaki persegi yang turut melibatkan pemasangan fasiliti di Kawasan Zon Perindustrian Bebas Kinta.
Menurut beliau, pembangunan kawasan pembuatan produk komponen optik Fasa ke - 2 itu turut dijalankan bersempena dengan ulang tahun ke -15 syarikat.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Finisar telah berkembang dengan amat rancak sejak penubuhannya dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
“Walaupun ada syarikat yang enggan memilih Ipoh kerana kita diapit oleh dua negeri perindustrian besar iaitu Pulau Pinang dan Lembah Klang, namun jelas Finisar telah membuktikan bahawa pembangunan dan ketersediaan Perak untuk menjadi hub pelaburan utama adalah tidak mustahil.
“Perak juga sentiasa mengutamakan kepuasan dan keselesaan pelabur yang ingin datang ke Ipoh seperti penyediaan pendidikan di beberapa sekolah-sekolah antarabangsa, khidmat pakar perubatan berkelas dunia serta penambahbaikan lapangan terbang untuk memudahkan pengangkutan,” ujarnya.
Beliau menambah, bermula dengan 50 pekerja, kini syarikat yang mempunyai cawangan di Eropah dan Amerika Syarikat itu telah mempunyai lebih 6,000 pekerja daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran masing-masing.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk memanggil berterima kasih kepada Finisar di atas keyakinan mereka untuk melabur di negeri Perak dan saya menyeru mana-mana pelabur berminat, datanglah ke Perak bagi tujuan pelaburan masing-masing," ujarnya.
Dr Zambry yakin, bahawa syarikat Finisar yang bernilai RM1.2 billion itu berupaya menjadi pemangkin kepada lebih banyak kemasukan pelabur asing di negeri Perak pada masa akan datang.