top of page
muinsapidin

Culik: Polis Enggan Ulas Demi Keselamatan Mangsa

JOHOR BAHRU - Polis tidak akan memberi sebarang ulasan lagi kepada media berhubung kes penculikan empat lelaki tempatan di Pulau Ligitan, Semporna, Sabah pada 1 April lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat demi memastikan keselamatan mangsa buat masa ini dan meminta agar media bersabar sehingga kes itu diselesaikan.

"Saya minta maaflah kepada rakan-rakan media, saya telah mengarahkan semua orang (pegawai) untuk tidak memberi apa-apa ulasan.

"Kita mesti pentingkan keselamatan mangsa dahulu, walaupun saya tahu anda ingin menulis sesuatu (perkembangan kes)," katanya ketika ditanya mengenai kes berkenaan di sini hari ini.

Sebelum itu, Khalid menghadiri majlis penutupan mesyuarat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang berlangsung selama dua hari sejak semalam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Mangsa culik yang kesemuanya berasal dari Sarawak dikenali sebagai Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21 itu adalah kru kapal yang didaftarkan atas nama 'Masfive 6'.

Mereka diculik sekumpulan lanun bersenjata ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air setelah selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina.

Mengulas mengenai Kho Jabing yang kini berdepan dengan hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh warga China Cao Ruyin di negara itu lapan tahun lepas, Khalid berkata pihaknya tidak akan mengesyorkan apa-apa saranan kepada kerajaan Malaysia atau Singapura mengenai Kho yang berasal dari Sarawak itu.

Pendekatan sedemikian diambil kerana percaya mana-mana individu yang telah melanggar undang-undang sah di sesebuah negara seharusnya bertanggungjawab ke atas tindakan yang dilakukan, kata beliau.

"Kita tidak akan campur tangan. Sama juga di sini, saya tidak mengharapkan jabatan polis dari negara lain untuk datang dan campur tangan dalam apa jua kes melibatkan rakyat negara mereka di sini," katanya ketika menjawab sama ada terdapat usaha untuk membantu mengurangkan hukuman Kho dalam kes terbabit.

Kho, 31, yang berasal dari Ulu Baram, dikenakan hukuman gantung enam tahun lepas kerana membunuh Cao dalam percubaan merompak di Geylang Drive sebelum membuat rayuan pada 2013, berikutan pindaan terhadap hukuman mati mandatori.

Susulan itu, beliau dikenakan pula hukuman penjara seumur hidup serta 24 sebatan.

Bagaimanapun, awal tahun ini selepas rayuan pihak pendakwaan, Mahkamah Rayuan Singapura membuat keputusan untuk mengenakan semula hukuman gantung sampai mati terhadap Kho melalui keputusan majoriti 3-2. -Bernama


21 views0 comments
bottom of page