IPOH - Lapan remaja yang dipercayai menyamun penjual dan penghantar surat khabar dengan bersenjatakan parang diberkas di sekitar bandar raya ini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kesemua suspek berumur antara 14 hingga 18 tahun itu diberkas di tiga lokasi berasingan iaitu Jelapang, Manjoi dan Kampung Rapat.
Menurut beliau, operasi dijalankan mulai Selasa lalu selepas menerima aduan daripada lapan mangsa serta perjumpaan dengan persatuan penjual dan penghantar surat khabar.
"Setiap pagi mulai Selasa lalu, kita menjalankan operasi dan pada pagi tadi kita telah berjaya menahan dua orang di Manjoi, dua di Kampung Rapat dan empat di Jelapang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Program High Profile Policing di Pasar Pasir Pinji di sini, pada Khamis.
Sum berkata modus operandi kumpulan itu adalah menyamun dengan menggunakan parang ketika mangsa keluar menjual atau menghantar surat khabar di awal pagi.
"Walaupun anggaran kerugian tidak banyak iaitu antara RM100 hingga RM300 bagi seorang mangsa, tetapi kebanyakan mangsa adalah warga emas dan suspek menyamun menggunakan parang," katanya.
Beliau berkata, dengan tangkapan suspek itu, polis telah menumpaskan kegiatan samun penjual dan penghantar surat khabar di sekitar Ipoh yang berlaku sejak November tahun lalu.
Beliau memberitahu, polis sedang mengesan beberapa anggota lain kumpulan itu yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan dan bersenjata.