SUNGAI NIBONG – Seorang petani yang mengusahakan tanaman terung dan bendi mendakwa berdepan kerugian hampir RM15,000 apabila air yang dipam ke kawasan penanaman dari parit di Tali Air 11 Sungai Nibong dicemari racun.
Petani, Azman Zainal Abidin, 50, berkata, pihak kontraktor disyaki menabur racun di parit itu ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan parit hingga mengakibatkan tanamannya musnah dan hasil pendapatannya terjejas.
Azman menunjukkan pokok tanaman bendinya yang kurang mengeluarkan
hasil berikutan air yang dipam di parit dicemari racun
Menurutnya, sebanyak 3,000 tanaman pokok terung di kawasan seluas 0.4 hektar yang mula ditanam sejak November tahun lalu tidak mendatangkan pulangan apabila sebahagian besar pokok itu tidak berbunga sepertimana kebiasaannya.
“Kalau ada pun terung yang masih hidup, buahnya akan layu dan saiznya terbantut. Terung yang ada ni tak boleh dijual sebab rosak,” katanya.
Azman berkata, dia terpaksa mengepam air dari parit itu untuk disalurkan terus ke pemancut air berikutan tanaman itu memerlukan air setiap hari terutama dalam keadaan cuaca panas kering pada masa ini.
“Saya dah beritahu pihak terbabit supaya hentikan kerja-kerja meracun di parit sebab boleh rosakkan tanaman kami. Tapi, mereka tak hiraukan teguran kami, sebaliknya parit ini terus diracun,” katanya.
Mengulas mengenai tanaman bendi, Azman memberitahu, hasil pengeluaran sayuran yang dijual kepada pemborong dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) itu jauh merosot apabila hanya memperoleh antara satu hingga lima kilogram (kg) seminggu.
“Bendi ni kalau dijual kepada pemborong harganya RM4 satu kilo. Biasanya dapatlah 30 kilo setiap kali petik.
“Kalau hasilnya banyak, seminggu mampu dapat lebih daripada RM1,000, tapi kalau hasil macam ni, nak dapat modal pusingan pun belum tentu,” katanya.
Azman yang mengusahakan tanaman pertanian di kawasan itu sejak 10 tahun lalu berkata, pokok bendi yang ditanamnya itu secara puratanya hanya mampu menghasilkan antara dua hingga tiga bendi berbanding 10 bendi jika air yang digunakannya bebas daripada racun.
“Saya ada lebih kurang 10,000 pokok di kawasan seluas 0.8 hektar. Pokok bendi ni berbunga, tapi putiknya bila tumbuh akan gugur sebab air yang dipam melalui parit ini beracun,” katanya.
Seorang pekerja tanaman pertanian berhampiran, Naim Azmi, 20, berkata, pada masa ini, tanaman timun di kawasan itu menggunakan air dari kolam takungan berhampiran bagi mengelakkan tanaman itu rosak.
“Selepas kami tahu parit ni diracun, kami dah lama tak pam dari parit untuk salur ke kolam takungan.
“Kami bimbang juga kalau kolam takungan surut sebab dah lama tak hujan. Kalau dua atau tiga hari ni masih tak hujan, kolam takungan boleh kering,” katanya yang mengakui penjagaan timun lebih rumit kerana memerlukan sumber air yang banyak.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa memantau projek penyelenggaraan dan pembersihan parit yang dijalankan pihak kontraktor mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Kita minta projek dilaksanakan ini dipantau lebih serius agar kawasan parit tak dicemari dengan racun yang bukan saja beri kesan terhadap tanaman penduduk, malah untuk langkah jangka masa panjang pada sistem perparitan itu sendiri,” katanya.
- Sinar Harian