IPOH - Pengusaha kantin di asrama SM Sains Tapah (SESTA) bakal berdepan ditamat kontrak sekiranya didapati cuai sehingga berlakunya kejadian 43 pelajar asrama sekolah berkenaan mengalami keracunan makanan baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya menutup dapur di asrama sekolah berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Menurut beliau, jika berlaku kecuaian pihak Kementerian Kesihatan akan menasihati Kementerian Pendidikan supaya mengambil tindakan termasuk membatalkan kontrak pengusaha kantin terbabit.
"Banyak boleh menjadi punca kejadian itu daripada pembekalan ayam yang telah diberi, cara ia dibawa ke sekolah dan cara macam mana ia disimpan di sekolah.
"Kita akan menjalankan siasatan sampai habis dan kalau ada kecuaian, pihak kita akan menasihatkan Kementerian Pendidikan supaya mereka mengambil tindakan, termasuk membatalkan kontrak pengusaha kantin terbabit,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin-Pemimpin NGO Masyarakat India di Dewan Sri AKS Jalan Jelapang, Ipoh pada Selasa.
Hadir sama Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango.
Menurut Dr Subramaniam, siasatan awal yang dijalankan mendapati makanan yang disediakan di kantin sekolah tersebut iaitu kuah kari ayam yang diedarkan pada pagi 2 April lalu kemungkinan punca berlakunya kejadian itu.
Katanya, pihak Kementerian Kesihatan telah mengambil contoh makanan untuk pemeriksaan dan beliau sedang menunggu hasil analisa itu.
Mengenai majlis itu, beliau menjelaskan, ia antara lain bertujuan menjelaskan kepada wakil-wakil NGO masyarakat India mengenai peluang yang disediakan kerajaan untuk membangunkan masyarakat tersebut.