IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur umat Islam yang gemar bermegah-megah dalam isu hantaran perkahwinan sehingga akhirnya mengundang aib dan memalukan.
Beliau menyifatkan peristiwa hantaran kahwin sehingga berlaku pertengkaran seperti yang dilaporkan media baru-baru ini sebagai menyedihkan dan memalukan umat Islam.
Menurut beliau, kejadian seperti itu sebenarnya dapat dielakkan sekiranya wujud tolak ansur antara kedua-dua belah pihak.
“Saya anggap ini satu peristiwa yang menyedihkan dan memalukan bangsa Melayu kerana kita langsung tidak bertolak ansur.
“Kalaupun wang hantaran tidak cukup sedangkan perjanjian untuk berkahwin sudah berlaku dan pengantin lelaki datang, kekurangan itu haruslah kita terima dan bukan berlaku sebaliknya sehingga mengundang perkara yang memalukan,’’ katanya kepada Suara Perak pada Rabu.
Beliau menjelaskan bahawa Islam melaksanakan hukumnya secara wasatiyah iaitu pertengahan dan tidak melampau.
“Jangan kita melakukan ibadat untuk riak dan bermegah-megah dengan besarnya belanja kahwin, tetapi hari ini kita lihat satu perkara yang tidak munasabah berlaku di mana belanja hantaran kahwin terlalu tinggi sampai puluhan dan ratusan ribu ringgit.
“Akhirnya tidak sampai tiga bulan berlaku penceraian akibat terpaksa menanggung hutang, perkara ini tidak betul mengikut syariat Islam,’’ katanya.
Harussani seterusnya menasihati umat Islam supaya jangan berbelanja berlebihan apabila mengadakan majlis perkahwinan semata-mata untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk sedangkan perkara itu adalah haram.
“Kita lihat bangsa lain tidak begitu teruk seperti orang Melayu yang berbelanja berlebihan dalam semua hal dan nasihat saya hukum syarak mesti kita pegang dan kita laksanakan agar kehidupan kita mendapat keberkatan Allah,” ujarnya.