IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sekali lagi menyuarakan kebimbangan umat Islam di negara ini bakal menjadi lemah dan berpecah belah jika mereka mengabaikan perintah Allah.
Beliau berkata, peringatan Allah melalui ajaran agama seperti pentingnya bersatu padu dan petanda alam seperti kemarau, cuaca panas melampau dan sebagainya harus dipandang serius.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
Peringatan itu, kata beliau, mengajak umat Islam melupakan sengketa sesama sendiri, sebaliknya kembali bersatu hati dan mengutamakan semangat perpaduan.
Walaupun beliau tidak menyebut siapa yang dimaksudkannya, umum percaya ia mengenai perbalahan terbuka antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Menurut Harussani, walaupun keadaan keadaan dalam negara ketika ini aman damai tetapi berlaku perselisihan dan perpecahan sesama umat Islam.
“Pada hal kita sebagai umat Islam berpegang kepada agama yang diturunkan Allah dan menyuruh kita bersatupadu dan persaudarakan sesama kita.
“Firman Allah, orang yang beriman itu bersaudara, bila bersaudara, kita tidak boleh menyakiti hati saudara kita, tidak boleh jatuh menjatuhkan saudara kita dan tidak boleh hina-menghina,’’ katanya kepada Suara Perak pada Rabu.
Menurutnya, umat Islam tidak boleh berpecah belah kerana ia merugikan dan dibimbangi orang lain akan mengambil kesempatan terhadap kelemahan ummah.
“Kita mengaku orang muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Allah dan sunah Rasulululah tetapi kita lihatlah sekarang, al-Quran diketepikan dan sunah kita jauhkan,” katanya kesal.
Harussani berkata, kerajaan hari ini telah melaksanakan pelbagai dasar untuk membangunkan ekonomi orang Islam supaya seimbang dengan ekonomi orang bukan Islam dengan asas 30 peratus.
“Malangnya, setelah 56 tahun kita merdeka, pencapaiannya sedikit walaupun ada yang mengatakan 26 peratus tetapi hakikatnya hanya 12 peratus yang kita capai,” ujarnya.