top of page
muinsapidin

Mac Catat Kes Kebakaran Tertinggi

KUALA LIPIS - Sebanyak 36 kes kebakaran dilaporkan berlaku di daerah ini bermula 15 Januari hingga 4 April lalu berikutan cuaca panas dan kering akibat fenomena El-Nino.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Haslizan Ramli berkata, kebakaran yang dilaporkan membabitkan 22 kes kawasan lalang, hutan (5 kes), kebun dan ladang (3 kes), sampah (2 kes) serta lain-lain (12 kes).

Gambar Hiasan

Menurutnya, Mac mencatatkan kes kebakaran tertinggi iaitu sebanyak 27 kes sekali gus meletakkan anggota pasukan itu dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa.

“Musim kering yang berlarutan mengakibatkan peningkatan ketara kejadian kebakaran di daerah ini khususnya di laluan Lipis-Merapoh serta Jalan Benta.

“Kebanyakan kebakaran dipercayai akibat sikap tidak bertanggungjawab orang ramai yang melakukan pembakaran terbuka untuk tujuan pertanian dan pembersihan kawasan.

“Kita juga mengalami kesulitan memadamkan kebakaran di beberapa tempat disebabkan tekanan air rendah serta tiada punca air,” katanya.

Beliau juga menasihati masyarakat di daerah itu supaya tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka terutama belukar, lalang, kebun dan semak samun serta sampah sarap.

Menurutnya, jika terpaksa lakukan, pastikan pembakaran itu dipantau dan elakkan dari merebak ke kawasan lebih luas.

“Kita bimbang keadaan itu akan bertambah buruk jika merebak kepada ke kawasan premis atau hutan yang berdekatan.

“Sikap ambil mudah segelintir masyarakat menimbulkan masalah kepada orang ramai terutamanya apabila api merebak ke kawasan rumah berdekatan seterusnya membahayakan nyawa orang lain,” katanya.


33 views0 comments
bottom of page