top of page
muinsapidin

Kahwin Beramai-Ramai Bantu Pasangan Kurang Mampu

IPOH - Pakej perkahwinan beramai-ramai yang dilaksanakan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) sejak tiga tahun lalu dapat membendung kejadian seperti pergaduhan mengenai isu wang hantaran perkahwinan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah, pakej itu berjaya membantu pasangan yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah untuk melayari dunia perkahwinan tanpa sebarang masalah

hantaran.

Gambar hiasan

Menurut Timbalan Pengarah JAIPk, Ustaz Harith Fadzilah, konsep perkahwinan beramai-ramai itu perlu diadakan bagi mengukuhkan hubungan silatulrahim antara semua pihak tanpa mengira latar belakang.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada pasangan muda untuk mendirikan rumah tangga tanpa menghadapi masalah perbelanjaan.

“Perkahwinan beramai-ramai ini amat penting kerana ia membantu golongan berpendapatan rendah mendirikan rumah tangga kerana kekangan dari segi perbelanjaan,” katanya kepada Suara Perak pada Rabu.

Menurut Ustaz Harith, JAIPk menerusi Bahagian Pembangunan Keluarga telah memulakan pakej perkahwinan beramai-ramai sejak 16 September 2014 yang mendapat sambutan amat menggalakkan.

Katanya, pada 16 September 2015, JAIPk telah menguruskan perkahwinan 62 pasangan di Masjid Sultan Azlan Shah di sini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

“Tahun ini pada sesi perkahwinan 16 September nanti kita mengharapkan ratusan pasangan untuk melangsungkan perkahwinan yang dijangka diadakan di perkarangan Pejabat Majlis Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar,” ujarnya.

Menurutnya, pasangan kurang berkemampuan yang ingin mendirikan rumah tangga dengan bantuan JAIPk dikenakan kadar bayaran minima RM1,500 bagi setiap pasangan yang berdaftar.

Katanya, mana-mana pasangan yang ingin menyertai pakej tersebut boleh mendaftar di Bahagian Pembangunan Keluarga JAIPk, Kompleks Islam, Ipoh atau pejabat Agama Daerah berdekatan.

Mengulas mengenai peristiwa pertengkaran wang hantara kahwin yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau menganggap peristiwa itu sebagai amat memalukan masyarakat Islam di negara ini.

Beliau berkata, peristiwa itu perlu dijadikan iktibar kepada pasangan muda yang ingin berkahwin supaya mereka dapat menjalani kehidupan berumah tangga tanpa sebarang permasalahan.

“Perkahwinan beramai-ramai ini merupakan satu pakej mudah yang boleh membantu mengelak dari berlakunya kejadian seperti itu di masa depan,” katanya.


620 views0 comments
bottom of page