IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak , Datuk Seri S.K Devamany tetap akan mempengerusikan Sidang DUN Selasa depan seperti biasa.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, buat masa ini, tiada sebarang keputusan dibuat mengenai jawatan tersebut.
“Ianya tiada isu, ini adalah hak Barisan Nasional (BN), bukan hak orang lain. Saya tahu sesetengah pihak tak mahu dia jadi Speaker tapi keputusan itu akan kita putuskan kemudian,” katanya pada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di pejabatnya pada Rabu.
Dr Zambry berkata demikian ketika mengulas mengenai desas desus kononnya Devamany akan melepaskan jawatannya sebagai Speaker selepas dipilih menjadi Timbalan Presiden MIC.
“Beliau telah memutuskan hasrat beliau dan akan berpegang kepada kata-katanya tetapi ia bergantung kepada parti (BN) sama ada hendak menerima atau sebaliknya atau pun sehingga ada pengantinya, jadi tak usah kita timbulkan perkara ini.
“Keputusan terletak pada BN, jika sekiranya tiba masa untuk menukar Speaker, kita akan bentangkan pada dewan nanti kerana pelantikkan atau penukarannya hanya boleh dibuat ketika dewan bersidang,” kata Dr Zambry.