KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri telah memeriksa 67,061 premis perniagaan sepanjang 2016 dan daripada jumlah itu, 1,133 premis adalah bekas positif pembiakan aedes.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, pihak berkuasa telah mengeluarkan 6,435 notis atau amaran pembersihan di bawah Seksyen 8 terhadap premis berkenaan.
“Selain mengeluarkan notis terhadap premis yang positif pembiakan aedes, kita juga menggunakan pendekatan kawalan secara echo-system yang telah mula dilaksanakan awal Februari lalu yang mana berjaya menurunkan kes denggi di negeri ini sejak pertengahan Februari,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan echo-system yang diambil melibatkan beberapa strategi iaitu meluaskan aktiviti kawalan bagi satu lokaliti wabak antara 500 meter hingga satu kilometer (km).
“Kita juga mengenal pasti tempat-tempat berisiko dalam satu lokaliti seperti rumah kosong, lot kosong dan telaga; memberi fokus aktiviti kawalan ke tempat berisiko termasuk tempat tumpuan awam serta membuat penjadualan aktiviti kawalan secara mingguan termasuk aktiviti ‘fogging’ dan ‘larviciding’.
“Kita juga meningkatkan aktiviti penguatkuasaan secara menyeluruh di lokaliti wabak, menjalankan operasi pemeriksaan premis secara bersepadu di semua lokaliti hotspot dan lokaliti wabak tidak terkawal,” katanya.
Muhammad Pehimi berkata, walaupun kes denggi menunjukkan penurunan, pihak berkuasa tidak boleh leka kerana masih terdapat bekas lokasi yang masih berpotensi.
“Mungkin dalam cuaca panas sekarang, bekas-bekas yang berada di luar rumah kering tanpa takungan air, tetapi pembiakan masih boleh berlaku di dalam rumah,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat bagi menjalankan aktiviti kebersihan di dalam dan di luar kediaman masing-masing bagi memastikan tiada tempat pembiakan aedes.
“Kita akan meningkatkan kerjasama interagensi seperti pejabat daerah, majlis perbandaran, penyiaran dan lain-lain yang berkaitan dalam usaha membanteras penularan wabak ini.
“Aktiviti gotong-royong akan diteruskan terutama di kawasan bermasalah. Semua tanah kosong, rumah kosong longkang serta tempat pembuangan sampah haram akan dibersihkan,” katanya.