“SIKAP tak mudah putus asa, itu pegangan hidup Adam. Selagi berupaya, dia akan habiskan apa juga kerjanya,” kata ayah pelumba Moto3 negara yang mewakili Drive M7 SIC Racing Team, Mohd Norrodin Jalil, 49.
Menurut Mohd Norrodin, insiden di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina, Isnin lalu mengimbau kembali perkara sama dilakukan Adam beberapa tahun lalu.
Norrodin melihat antara hadiah dimenangi Adam sejak mula menyertai
dunia permotoran seawal usia 8 tahun.
Katanya, Adam berusia 8 tahun ketika itu terpaksa menolak motosikalnya yang rantai putus sehingga ke garisan penamat.
“Yang membezakan waktu itu semasa tolak motosikal dia dibantu marshal menyebabkan dia tidak dikira menamatkan perlumbaan.
“Nyata pengalaman mengajarnya, kini dia tolak motosikalnya sendiri setelah terjatuh di selekoh terakhir sebelum garisan penamat, sehingga dapat lima mata dengan menduduki tempat ke-11.
“Dia semakin matang, tidak ulangi kesilapan sama semasa pertandingan Motocross Kategori Kadet di Sepang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Raja, di sini, semalam.
Menurut Mohd Norrodin, dia dan isterinya, Rasimah Sarmidi, 40, turut menyifatkan Adam mempunyai jiwa kental tidak mudah mengalah malah sentiasa mahu jadi yang pertama dalam setiap perkara dilakukannya.