top of page
muinsapidin

5 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Panama Papers

Pendedahan wujudnya 11.5 juta akaun luar pesisir oleh sebuah organisasi yang digelar sebagai Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) menggemparkan dunia.

Organisasi yang berpangkalan di Washington itu berkata data ini diperolehi dari sebuah firma perundangan di Panama, Mossack Fonseca dan melibatkan melibatkan ahli perniagaan, selebriti, bintang sukan serta pemimpin dunia.

Antara lain, ianya menunjukkan rekod transaksi kewangan oleh bekas pemimpin atau pemimpin kini Argentina, Iceland, Arab Saudi dan Rusia.

Berikut adalah beberapa fakta ringkas tentang Panama Papers.

1. Apa itu Panama Papers?

Penerbitan hasil siasatan yang mendedahkan aktiviti kewangan luar pesisir golongan elit dunia.

Ia mendedahkan 11.5 juta rekod kewangan ahli perniagaan, selebriti, bintang sukan serta pemimpin dunia dari tahun 1970-an hingga 2015

2. Siapa terajui siasatan?

Pada 2015, terdapat sumber memberi dokumen dari sebuah firma perundangan di Panama, Mossack Fonseca kepada akhbar Jerman Süddeutsche Zeitung.

Akhbar berkenaan serah dokumen kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ), sebuah kumpulan gabungan media antarabangsa.

Dokumen itu kemudian dianalisis oleh 400 wartawan dari 107 organisasi media.

3. Siapa dan negara manakah yang dikaitkan dengan Panama Papers

Panama Papers mendedahkan beberapa transaksi kewangan oleh bekas pemimin, pemimpin kini, pegawai kerajaan dan ahli keluarga dan orang terdekat pemimpin negara dari lebih 40 negara.

Antara pemimpin yang dikaitkan adalah Presiden Rusia Vladmir Putin, Presiden Argentina Mauricio Macri, Presiden Ukraine Petro Poroshenko, Presiden Emiriah Arab Bersatu Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Perdana Menteri Iceland Sigmundur Davíð Gunnlaugsson.

Antara selebriti yang dikaitkan dalam laporan ini adalah bintang Bollywood Amitabh Bachan, Aishwarya Rai Bachan, pelakon Hollywood Jackie Chan dan bintang sukan Lionel Messi.

4. Reaksi Mossack Fonseca

Memetik laporan CNN.com, Mossac Fonseca dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa industri mereka tidak difahami oleh orang umum dan pendedahan dokumen ini akan mengelirukan lagi orang ramai.

"Jelas sekali, tiada siapa yang suka mempunyai harta mereka dicuri, dan kami berhasrat untuk melakukan apa sahaja yang kita boleh untuk memastikan pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan,” kata firma Mossack Fonseca.

Pengasas bersama Mossack Fonseca Ramon Fonseca Mora berkata bahawa terdapat maklumat yang tidak tepat dalam laporan ICIJ dimana beberapa pihak bukan dan tidak pernah menjadi pelanggan Mossack Fonseca.

5. Laporan penuh pada Mei

Panama Papers mula didedahkan pada 3 April.

Pihak ICIJ bakal siar senarai penuh kesemua syarikat yang terlibat pada Mei.


6 views0 comments
bottom of page