top of page
muinsapidin

47 Premis Diperiksa Dalam Ops Bersepadu NBOS

SERI ISKANDAR - Sebanyak 47 premis melibatkan pasaraya, kedai runcit dan lain-lain di sekitar Seri Iskandar telah diperiksa dalam Ops Bersepadu NBOS bagi menangani kos sara hidup yang dijalankan pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Perak, Meor Ismail Meor Akim berkata, operasi yang melibatkan 110 anggota dari 11 agensi kerajaan itu telah mengesan pelbagai kesalahan termasuk menangkap dua individu.

Gambar Hiasan

Menurut beliau, pihak KPDNKK sendiri telah mengambil 11 tindakan di bawah pelbagai akta seperti Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Katanya, Jabatan Imigresen pula telah menangkap dua individu manakala Majlis Daerah Perak Tengah telah mengeluarkan kompaun RM250 terhadap 13 kesalahan selain empat notis berkaitan kebersihan.

“Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah mengesan dua kesalahan gagal pamer nombor pendaftaran dan lima kesalahan gagal daftar alamat cawangan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas operasi itu.

Menurut Meor Ismail, Jabatan Kesihatan mengesan tiga kesalahan serta mengeluarkan kompuan RM2000.

Beliau memberitahu, dua buah premis buah-buahan dan sayur-sayuran turut disita oleh FAMA kerana tidak patuh peraturan Grading, Pembungkusan dan Pelabelan serta beberapa notis amaran juga telah dikeluarkan oleh LKIM untuk memohon lesen menjual ikan.


6 views0 comments
bottom of page