IPOH - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor berusia 54 tahun mengaku tidak bersalah ke atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada tahun 2013 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa.
Tertuduh Amrin Paiman yang bertugas sebagai Inspektor Pendakwaan Trafik Bahagian Ketenteraman di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh didakwa meminta wang suapan sebanyak RM500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak menuduh lelaki itu mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Le Courts, Aparment Desa Tambun, kira-kira pukul 1.30 petang, 13 November 2013.
Amrin turut dituduh memperoleh wang suapan sebanyak RM700 daripada lelaki sama di Restoran Serambi Desa, Jalan Besar Tambun, kira-kira pukul 10.15 malam, 14 November pada tahun yang sama.
Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala, untuk pertuduhan kedua, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama.
Hakim Hakim Indra Neru Savandiah menetapkan wang jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan 8 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Aris.
Sebelum ini, Amrin telah didakwa di mahkamah sama atas tiga kesalahan sama pada Jun tahun lalu membabitkan wang berjumlah RM15,000 dan dia mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut.