IPOH - Polis Perak berjaya menahan enam lelaki yang dipercayai anggota geng kongsi gelap 04 dalam Ops Cantas Silver di Ipoh, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam operasi bermula jam 10.30 malam hingga 7 pagi yang dibuat di sekitar Flat Waller Court Jalan Dato Jaafar itu, pihaknya turut merampas lima bilah parang panjang dan tiga botol Molotov Cocktail.
Menurut beliau, lima suspek itu ditahan di dalam sebuah kenderaan yang menyimpan 5 bilah parang dan sebotol molotov cocktail manakala seorang suspek lagi ditahan ketika menunggang motosikal yang membawa dua botol molotov cocktail.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, polis memeriksa sebuah kereta Honda Accord dinaiki lima lelaki dan menemui lima parang serta satu bom botol.
"Seorang lagi suspek menaiki motosikal Yamaha Lagenda berada tidak jauh dari situ, turut diperiksa dan polis menemui satu bom botol dalam bakul motosikal itu," katanya pada sidang media khas di IPD Ipoh pada Selasa.
Menurutnya, suspek yang berusia antara 20 dan 24 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Dalam serbuan sama, beliau memberitahu, dua lagi suspek berjaya melarikan diri selepas bertindak nekad cuba menyerang polis dengan parang.
“Untuk dua buah motosikal yang lari, kita telah mengejar dan apabila sampai jalan mati, kedua-dua penunggang motosikal telah turun dan cuba menyerang polis dengan parang.
“Salah seorang anggota telah melepaskan tembakan amaran menyebabkan suspek lari neninggalkan motosikal dan usaha memburu sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Katanya, Ops Cantas Silver dibuat selepas menerima maklumat mengenai kegiatan gangsterisme di kawasan berkenaan.