IPOH – Berdasarkan unjuran semasa, Perak memerlukan hampir 9,000 pekerja mahir sepanjang tahun 2016.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali berkata, tenaga mahir merupakan tunjang kepada pembangunan ekonomi negara, sejajar dengan hasrat Program Transformasi Ekonomi.
Maslin Sham Razman menerima cenderamata daripada Zaihan Shukri
Menurut beliau, modal insan berkemahiran tinggi merupakan teras kepada inovasi dan ekonomi yang produktif.
“Di samping itu, Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga mahir bagi mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Karnival Kerjaya ILP di sini pada Selasa yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Maslin Sham Razman.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Institut Latihan JTM Wilayah Utara, Zaihan Shukri.
Karnival sehari itu adalah kerjasama JTM, Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh.
Syed Mohamad Noor memberitahu, sehingga kini, sebanyak 32 institut latihan JTM telah diwujudkan di seluruh negara bagi memenuhi keperluan pengeluaran tenaga mahir.
Beliau menambah, bagi ILP Ipoh sahaja, ia telah mengeluarkan 8,167 graduan sejak 1991 hingga tahun lalu di mana sebahagian besarnya telah berjaya mendapat pekerjaan pendapatan tinggi.
Menurut beliau, ILP Ipoh telah menjalin kerjasama dengan PeKA sejak tahun 2013 yang antara lain memberi khidmat nasihat dan maklumat peluang pekerjaan kepada graduan ILP.
“Keberkesanan daripada kerjasama ini menunjukkan kesan positif di mana kadar kebolehkerjaan pelajar mencaipai 100 peratus pada tahun 2014, berbanding dengan 2013 hanya 79 peratus,” tambahnya.