KUALA KANGSAR - Umat Islam perlu memahami bahawa pemakaian tudung hendaklah mengikut kehendak syariat dan bukannya terikat dengan jenama atau sebagainya.
Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zambri Hashim berkata, mana-mana kedai atau syarikat yang membawa nama Islam, mesti sedaya upaya berlandaskan kepada iltizam dengan adab-adab Islam, termasuk tudung.
Menurut beliau, pemahaman tudung itu sendiri sebenarnya hendaklah menutup aurat dan ia pula tidak mementingkan jenama.
Pelanggan berebut untuk mendapatkan tudung keluaran yang terbaru
“Tetapi kadang-kadang masyarakat kita terkeliru dengan jenama, jadi kalau hendak membuat jualan murah dan sebagainya sistemkan macam mana hanya perempuan sahaja boleh masuk dan berperaturan, barulah cantik nama Islam tu,” katanya kepada Suara Perak selepas menghadiri Bengkel Pengamalan Tarekat Di Negeri Perak di Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Kangsar pada Selasa.
Ustaz Zambri berpendapat, insiden berebut untuk mendapatkan nombor giliran membeli tudung di sebuah syarikat jualan tudung ternama baru-baru ini perlu dilihat secara serius demi maruah dan imej Islam.
Insiden itu yang viral di laman sosial Facebook memaparkan ratusan pelanggan berebut-berebut dan saling tolak menolak sambil menjerit-jerit, semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran.
Video berdurasi 16 saat itu memaparkan pelanggan yang bersesak untuk mendapatkan nombor giliran bagi pembelian koleksi baharu tudung Fareeda, Sweet Love.