TAIPING – Seorang remaja berusia 22 tahun ditahan kerana memiliki air ketum dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Taman Tasik Taiping, di sini, kelmarin.
Operasi terbabit dijalankan 39 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bermula jam 5 petang.
Pihak polis melakukan pemeriksaan dalam operasi yang dilakukan di Jalan Taman Tasik Taiping.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya menemui satu botol air berisi air ketum dalam raga motosikal remaja itu.
"Susulan daripada itu, remaja berkenaan ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dipercayai memiliki air ketum,” katanya.
Dalam operasi itu, polis turut mengeluarkan sebanyak 72 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Antaranya melibatkan kesalahan tidak ada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai motosikal di bahagian ekzos serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Harrith Kam berkata, seramai 150 individu diperiksa melibatkan 135 motosikal dan lima kereta.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima motosikal disita, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. - Sinar Harian