PETALING JAYA: Dua letupan kecil dilapor berlaku disebabkan oleh letupan gas di kedai makanan dan minuman yang terletak di Mid Valley Megamall di Jalan Klang Lama di sini hari ini. Pengurusan Mid Valley Megamall dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook hari ini mengesahkan kejadian itu dan adalah disebabkan oleh letupan kecil semasa kerja pemasangan semula sistem sistem gas petroleum cecair (LPG).
Dua letupan kecil akibat kebocoran gas berlaku di kedai makanan dan minuman
yang terletak di pusat beli-belah Mid Valley Megamall.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun enam individu terlibat terdiri daripada kakitangan penyelenggaraan, kontraktor LPG dan pekerja mengalami kecederaan ringan, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat. Terdahulu media melaporkan lapan individu cedera dalam insiden letupan tersebut.
Dalam pada itu, pengurusan Mid Valley Megamall telah menutup sistem gas di premis terbabit bagi menjamin keselamatan pengunjung dan penyewa. "Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan telah menutup semua sistem gas di Mid Valley Megamall untuk sementara waktu. "Keselamatan tetap menjadi keutamaan kami dan akan memberi tumpuan terhadap keselamatan penyewa dan pengunjung kami," kata kenyataan itu lagi. Tambahnya, pusat beli-belah itu akan terus dibuka kepada pengunjung dan sebarang maklumat dan perkembangan semasa akan dimaklumkan kepada orang ramai.