KAMPUNG GAJAH - Keluarga berbangga akhirnya kesungguhan dan penat lelah Khairul Idham Pawi mengejar impian untuk mengharumkan negara dan keluarga di persada antarabangsa dalam sukan permotoran tercapai.
Lebih mengharukan, bukan sahaja pelumba muda berusia 17 tahun itu mengharumkan nama negara dan keluarga malah berjaya melakar sejarah baharu sebagai pelumba pertama Malaysia memenangi Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 di Grand Prix Motosikal Argentina.
Bapanya, Pawi Omar, 52 memberitahu, Khairul telah memasang impian itu sejak berjinak-jinak dalam sukan permotoran seawal usia 12 tahun dan pernah berjanji akan membuat nama keluarganya bangga.
Malah, katanya, setiap kali sebelum perlumbaan yang disertai dia akan memohon ibunyamendoakan kejayaannya.
Kejayaan Khairul membanggakan seluruh keluarga - Pawi
Pawi yang menjalankan perniagaan jual beli kelapa sawit berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu berlatih sekurang-kurangnya dua jam sehari tujuh hari seminggu di Litar Datuk Sagor, yang terletak berhampiran rumah mereka, sejak berusia 13 tahun.
“Sejak berusia 12 tahun dia dah beritahu dia minat dengan berlumba ini dan berusia 13 tahun mula menyertai perlumbaan pertamanya.
“Dia memang rajin, hidup dia memang di atas motor, kalau dia tak pergi berlatih pelik rasanya. Walau pun hari minggu dia tetap akan ke litar membawa adik bongsu berlatih bersama-sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pekan Kampung Gajah pada Isnin.
Pawi berkata, walaupun bangga dan gembira dengan pencapaian Khairul, namun dalam masa yang sama sedih kerana anaknya itu bersendirian tanpa keluarga atau pun sahabat ketika mencipta sejarah itu di negara orang.
“Dalam kegembiraan yang kita raikan bersama, sebagai ayah memang sedih kerana pada usia dia yang terlalu muda, mengembara ke serata dunia bersendirian tanpa diiringi teman-teman atau pun ahli keluarga.
“Saya lebih risau dia dalam perjalanan daripada dia berlumba, saya sekeluarga sentiasa mendoakan di mana sahaja dia berada,” ujarnya.
Sementara itu, adik bongsu Khairul, Anwar Ibrahim, 16 yang turut aktif dalam sukan sama pula memberitahu, kejayaan abangnya akan dijadikan pembakar semangat dalam mencapai impian menjadi pelumba profesional.
“Saya selalu berlatih dengan dia di Litar Datuk Sagor dan dia sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya. Dengan kemenangan ini, saya amat-amat mahu menjadi seperti dia,” katanya bersemangat.
Ikuti berita penuh di Akhbar Suara Perak edisi April 2016.