top of page
muinsapidin

Hulu Perak Hub Penternakan Utama Negara

LENGGONG - Kawasan padang ragut seluas 324 ekar di sekitar Hulu Perak berpotensi dibangunkan sebagai hub pengeluaran produk penternakan utama di seluruh Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap produk produk daging import.

Menurut beliau, Perak akan menggunakan Sistem Penternakan Koloni dengan mengumpulkan penternak individu dan diberikan kursus pembiakan serta penjagaan asas oleh Jabatan Veterinar Negeri.

"Sistem baharu ini akan menjadi titik permulaan bagi mengusahakan kegiatan penternakan secara lebih bersepadu, sistematik dan menepati piawaian untuk meyakinkan pelanggan mengenai kualiti penjagaan kambing dan rusa di Hulu Perak ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Persatuan Penternak Kambing Mukim Durian Pipit, Ke Arah "Mentransformasi & Memodenkan Keadah Penternakan" yang melibatkan 35 penternak kambing di di sini pada Selasa.

Menurut Saarani, pembangunan yang akan dijalankan di Hulu Perak yang meliputi beberapa mukim terpilih itu juga mampu menambah pendapatan bulanan penternak tempatan.

Katanya, pembangunan tanah di sekitar Hulu Perak itu dilakukan setelah menilai beberapa faktor utama seperti golongan penternak berpengalaman dan sistem perusahaan kambing serta rusa sedia ada.

Menurut beliau, selain bidang penternakan, Perak turut mempunyai sembilan buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM ) serta empat lokasi pengeluaran padi di Seberang Perak dan Kerian.

Dalam pada itu, Saarani memberitahu, seramai 35 peserta penternakan kambing dan rusa telah terpilih untuk menjadi model contoh Sistem Penternakan Koloni Mukim Durian Pipit yang akan melibatkan lima buah kampung.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan seramai 50 orang penternak di sekitar Hulu Perak yang akan menjadi mentor dan pembimbing bagi perancangan pembangunan hab penternakan kelak.

Menurutnya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk peralatan 'cylo' bagi tujuan penyediaan makanan harian ternakan kambing di sekitar Mukim Durian Pipit.


40 views0 comments
bottom of page