LANGKAWI: Sebuah feri penumpang milik syarikat Coral Island yang sedang dalam pembaikan terbakar pagi tadi di jeti pelancongan dekat Langkawi, Kedah. Dalam kejadian jam 10.18 pagi itu, api marak secara tiba-tiba dipercayai bermula dari bahagian enjin feri.
Menurut Ketua Operasi Balai Bomba Langkawi Zabidi Che The, sebaik menerima panggilan, beberapa anggota dan jentera digerakkan ke lokasi.
Sebaik tiba, api dilihat sedang marak di bahagian badan feri. Bagaimanapun, ketika kejadian, tiada sesiapa di dalam feri yang berkapasiti muatan 500 penumpang itu.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan. Insiden ini merupakan kejadian kedua feri terbakar di depoh pembaikan di Langkawi.