top of page

Polis Tahan Pelajar Perempuan dan Teman Lelaki Edar Dadah

  • muinsapidin
  • Apr 4, 2016
  • 1 min read

IPOH - Polis Perak menahan seorang pelajar perempuan sebuah institut kemahiran dan teman lelakinya serta merampas satu beg berisi empat bungkusan dadah jenis heroin seberat lebih 1.8 kilogram bernilai RM91,085.00 dalam satu serbuan di tempat pakir kereta sebuah restoran di Banding, Gerik pagi Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ACP Ravi Chandran berkata, dalam serbuan pada jam 7 pagi itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Accord bernilai RM40,000 dan wang tunai RM2,000.

Menurut beliau, dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan untuk lebih kurang 1,300 orang penagih.

“Dadah tersebut disyaki untuk diedarkan di kawasan Gerik, Baling dan Lenggong,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) di sini pada Isnin.

Ravi berkata, pelajar berumur 19 tahun yang berasal dari Perak dan teman lelakinya berumur 33 tahun berasal dari Pulau Pinang kini ditahan reman selama tujuh hari mulai 1 April lalu.

Beliau berkata, mereka ditahan di bawah Seksyen 39B 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Ravi memberitahu, sepanjang tempoh tiga bulan dari Januari hingga Mac tahun ini, polis telah menangkap 3,953 orang pesalah dadah, peningkatan sebanyak 154 peratus berbanding 1,553 orang bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut beliau, tindakan di bawah Akta Perlucutakan Harta 1988 terhadap pengedar dadah yang ditangkap pula telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis harta termasuk rumah, tanah, kenderaan dan akaun bank bernilai RM905,145,7 bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ravi berkata, kesemua tangkapan kes pengedaran dadah telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu dan ganja yang bernilai di pasaran kira-kira RM950,000.


Comments


bottom of page