Perak Negeri Pertama Tuan Rumah Program Silang Budaya
- muinsapidin
- Apr 4, 2016
- 2 min read
IPOH - Buat julung kalinya negeri Perak telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah pertama Program Silang Budaya yang berkonsepkan pameran bergerak ‘travelling exhibition’.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, beberapa negeri telah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian, antaranya, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Jabatan Muzium Malaysia.

“Memandangkan ini adalah program yang pertama, jadi pada tahun hadapan kita akan mendapat penyertaan daripada semua 14 buah negeri,’’katanya ketika kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut di Muzium Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.
Menurut Nolee, Program Silang Budaya dilihat mampu mengetengahkan adat, budaya dan tradisi yang terdapat di negara ini kepada masyarakat di seluruh negara.
Katanya, semua negeri yang menyertai program itu telah bersetuju untuk mempamerkan sama ada tarian atau budaya serta tradisi yang ingin diketengahkan di seluruh Malaysia.
“Kita mensasarkan 5,000 pengunjung akan hadir ke program ini yang diadakan selama sebulan bermula 1 April sehingga 30 April ini,” ujarnya.
Menurut Nolee, Malaysia cukup bertuah kerana walaupun dengan arus globalisasi dan modenisasi, ia masih dapat mengekalkan adat dan budaya tradisi rakyat.
Katanya, setiap negeri akan mempamerkan satu adat atau pameran di mana Perak telah memilih Tarian Dabus, Kedah (wayang kulit Seri Asun), Pulau Pinang (Ghazal Parti), Jabatan Muzium Malaysia (Gambus), Selangor (Cempuling) dan Johor (Zapin Johor).
Beliau memberitahu, selepas Perak, program Silang Budaya akan berlangsung di Selangor (11 Mei – 9 Jun), Johor (20 Jun – 19 Julai), Jabatan Muzium Malaysia (30 Julai – 28 Ogos), Kedah (8 September – 7 Oktober) dan Pulau Pinang (18 Oktober – 16 November).
Program Silang Budaya itu diadakan di Muzium Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.



Comments