top of page

Peniaga `Cekik Darah” Jejaskan Imej Pangkor

  • muinsapidin
  • Apr 4, 2016
  • 2 min read

IPOH - Tindakan melampau segelintir peniaga makanan laut di Pulau Pangkor yang menaikkan harga makanan laut sejak kebelakangan ini boleh menjejaskan imej pulau itu sebagai destinasi pelancongan terkenal tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana jika dibiarkan berterusan, dibimbangi boleh menyebabkan kedatangan pelancong merosot.

Gambar hiasan

Menurut beliau, peniaga berkenaan sepatutnya memahami, jika mereka menaikkan harga makanan laut tinggi, lama kelamaan pengunjung tidak mahu datang lagi ke Pulau Pangkor.

“Jadi, merek perlu memainkan peranan untuk memastikan harga makanan laut yang ditawarkan adalah berpatutan,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Silang Budaya di Muzium Negeri Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.

Sehubungan dengan itu, kata Nolee, kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan memantau perkara tersebut bagi mengawal tindakan segelintir peniaga yang menaikkan harga makanan laut.

“Kita akan mengambil tindakan memantau keadaan itu dan juga memberi nasihat kepada peniaga-peniaga terbabit supaya menawarkan harga yang berpatutan kepada pelawat dan pelancong yang datang menikmati makanan laut di premis mereka,” ujarnya.

Nolee diminta mengulas mengenai aduan pembaca sebuah akhbar melalui aplikasi WhatsApp yang tidak berpuas hati dengan harga makanan laut di Pulau Pangkor yang disifatkannya terlalu mahal.

Pembaca yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Zali berkata, dia tidak puas hati kerana dikenakan harga yang mahal ketika makan di Teluk Nipah, di Pulau Pangkor, baru-baru ini.

Menurut pembaca itu harga makanan laut di pulau tersebut sepatutnya tidak mahal kerana banyak banyak hasil laut boleh diperoleh daripada nelayan di sekitar pulau itu.

Zali mendakwa, insiden itu berlaku ketika dia dan tiga rakannya menikmati makanan di sebuah kedai makanan laut dimana mereka dikenakan bayaran lebih RM400 untuk makanan seperti ikan siakap, ikan pari, sotong, udang, telur, sayur kailan dan tomyam.


Comments


bottom of page