Penderitaan Keluarga Penghidu Gam Dapat Pembelaan
- muinsapidin
- Apr 4, 2016
- 2 min read
IPOH – Enam sekeluarga yang menderita dipukul saban hari sejak beberapa bulan lalu selepas ketua keluarga mereka terlibat dalam kegiatan menghidu gam, mendapat pembelaan apabila Pergerakan Wanita MyPPP tampil menghulurkan bantuan.
Selepas tiga bulan berlindung di Kompleks Penyayang Bakti di Sungai Buluh, Selangor, mereka ditempatkan sementara di Rumah Transit Helping Hands pergerakan itu di sini hampir sebulan lalu.
Ketua Wanita MyPPP, Helen Mening berkata, semasa di rumah transit, keluarga tersebut diberi motivasi dan kaunseling sebelum mereka dipindahkan ke rumah sewa bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurut beliau, pihaknya turut mendapatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu keluarga tersebut.
“Dari segi sekolah anak-anak dan mungkin untuk mangsa kita akan cuba cari pekerjaan untuk menampung keluarga dan kami akan bantu supaya boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya kepada pemberita ketika menguruskan perpindahan keluarga itu di sini pada Isnin.
Helen berkata, setakat ini Wanita MyPPP mempunyai sebuah rumah transit dan akan menambah sebuah lagi di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
“Selain daripada itu kami juga memang giat melaksanakan Program Helping Hands di seluruh negara, terima kasih kepada Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas yang banyak memberi sokongan untuk kami meneruskan program ini,” ujarnya.
Sementara itu, Habibah (bukan nama sebenar) meminta kerjasama pihak berkuasa untuk membantu menyelesaikan beberapa masalah keluarganya bagi membolehkan mereka hidup seperti keluarga lain.

Katanya, masalah itu ialah perceraian dengan suami penagih, persekolahan tiga daripada lima anaknya yang berumur 8, 10 dan 13 tahun serta kebajikan mereka sekeluarga.
Selain tiga anaknya itu, Habibah turut mempunyai dua lagi anaknya berumur 3 dan 16 tahun di samping seorang lagi anak berumur 19 tahun yang tidak dapat dikesan selepas menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu.
Menceritakan penderitaan keluarganya, dia memberitahu, segalanya sejak beberapa bulan lalu apabila suaminya menukar cara penagihannya daripada menghisap ganja kepada menghidu gam.
“Bila dia hidu gam, dia tengok saya macam bukan isterinya, begitu juga anak-anak, kami dipukul saban hari hingga sakit-sakit badan, itu sebab saya nekad bawa anak-anak lari,” ceritanya sedih.
Lebih membimbangkan, cerita ibu malang itu, mereka sekeluarga pernah diugut bunuh sehingga menyebabkan anak-anak takut dengan ayah mereka sendiri.



Comments